17 September 2016

17 September 1984 : PAS Sedia Berdebat Dengan UMNO Dalam Isu Takfir

Pada hari ini dalam tahun 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri telah mengirimkan surat kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Sanusi Junid untuk menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno dalam isu kafir-mengkafir yang ditimbulkan parti sekular kebangsaan itu sejak 1980. Pada mulanya Umno mendakwa Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar telah mengkafirkan Umno lalu beliau dihadap ke Mahkamah Syariah Besut pada 9 Februari 1980. Pada 11 Ogos 1983, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad menimbul isu Amanat Haji Hadi di Dewan Undangan Negeri Terengganu, sehingga isu kafir-mengkafir menjadi panas dan mewarnai perkembangan politik dekad 1980-an.

Ekoran isu ini, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982 telah mencabar Umno untuk bermuzakarah berkaitan isu-isu tuduhan Umno yang mendakwa PAS telah menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik, PAS memecahbelahkan masyarakat dan menyelewengkan agama dan dakwaan Umno bahawa Islam sebenar ialah Islam model Umno. Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasarnya pada 30 April 1983 telah menyifatkan program Islamisasi Umno sebagai manipulasi untuk membendung kebangkitan Islam, sedangkan seruan muzakarah oleh PAS tidak bersahut. Pada 14 April 1984, Pak Yusof Rawa sekali lagi dalam Ucapan Dasarnya menyifatkan program Islamisasi Umno sebagai strategi Masjid Dhirar oleh golongan munafikin yang berfahaman asobiyah sekular.

Pada 10 Julai 1984, tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS iaitu Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Bunyamin Yaakub dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik telah ditahan ISA, yang menyebabkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Yang Dipertua Agung PAS menyelar tindakan Umno dan mengajak mereka bersemuka dengan PAS. Dalam respon awal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyatakan keengganan Umno bersemuka dengan PAS, tetapi pada 25 Ogos 1984, beliau menyatakan Umno bersedia untuk berdebat dengan PAS di televisyen. Pada hari yang sama, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah menyambut tawaran Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan Umno dengan memfokuskan kepada penghayatan al-Quran. Walau bagaimanapun tawaran PAS ini tidak dijawab oleh Umno, sebaliknya pada 15 September 1984, Dr Mahathir Mohamad mengulangi kesediaan berdebat dan menunggu persetujuan PAS.

Ekoran kenyataan Dr Mahathir Mohamad ini, pada 17 September 1984, PAS telah mengirimkan surat persetujuan berdebat secara rasmi kepada Setiausaha Agung Umno. Pada 15 Oktober 1984, Setiausaha Agung Umno memaklumkan bahawa Umno sedia berdebat atas isu “PAS mendakwa Umno kafir dan barang siapa yang menentangnya, jika mati, adalah mati syahid,” dan mencadangkan perdebatan diadakan pada 11 November 1984. Kedua-dua parti bersetuju menghantar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib bagi pihak PAS dan Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad, Anwar Ibrahim dan Ustaz Ibrahim Azmi Hassan mewakili Umno. Walau bagaimanapun, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisytiharkan bahawa Majlis Raja-raja telah membatalkan Debat Umno-PAS ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: