30 September 2016

30 September 2011 : PAS Pertegas Pendirian Hudud Bagi Menghadapi Tentangan DAP

Pada hari ini dalam tahun 2011, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mempertegaskan pendirian PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud setelah isu ini kembali menjadi polemik. Ternyata isu hudud yang dibangkitkan semula oleh media sejak 21 September 2011 telah menggugat kestabilan Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan pada 1 April 2008.

Isu hudud bukan sahaja menarik perhatian rakan-rakan dalam PR terutama DAP, tetapi juga para pemimpin Umno yang turut menghangatkan lagi polemik ini. Isu hudud ini timbul semula ekoran satu kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada media sempena Sambutan Hari Hududullah di Kota Bharu pada 20 September 2011. Ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS yang bertegas mahu Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah itu, ia telah mendapat reaksi negatif dari Pengerusi DAP, Karpal Singh. Menjawab sikap keras pemimpin DAP yang tidak mahu mengiktiraf kewujudan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Takzir) 2003, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegas bahawa DAP boleh keluar dari PR jika mereka tidak mahu menerima undang-undang Islam itu. Para pemimpin DAP sebaliknya mendesak PAS supaya berpegang dengan Platform Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

Turut memberi respon terhadap ketegasan PAS dalam melaksanakan hukum Allah ini ialah para pemimpin Umno. Bagi para pemimpin Umno, mereka berpegang bahawa hudud adalah hukum Allah, tetapi berpendapat ia belum sesuai dilaksanakan di negara ini. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hudud tidak sesuai dilaksanakan kerana faktor masyarakat majmuk, sedang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, masyarakat perlu terlebih dahulu diberikan kefahaman sebelum undang-undang syariat dilaksanakan. Manakala bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat keadaan Malaysia belum kondusif untuk melaksanakan hudud.

Disebabkan oleh pendirian pelbagai pihak, terutama komponen PR yang masih berkeras tidak mahu menerima perlaksanaan hudud ini, PAS pada 30 September 2011 telah mempertegaskan pendiriannya, iaitu:

I. Perjuangan PAS tetap akan berlangsung dalam kerangka demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan jaminan kekebasan mengamalkan agama;
II. Komitmen PAS untuk melaksanakan perubahan dalam negara ini berdasarkan Platform Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Dokumen Buku Jingga;
III. PAS kekal berpegang dengan prinsip negara berkebajikan yang menuntut perlaksanaan keadilan Islam, dan menolak segala bentuk kezaliman;
IV. Penafsiran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah antara PAS dan DAP adalah relatif, dan ia perlu ditentukan oleh mahkamah; dan
V. Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu telah wujud sebelum wujudnya PR, dan negeri-negeri tersebut berhak mengkanunkannya setelah Kerajaan Pusat bersedia membenarkan perlaksanaannya. Rakyat Kelantan yang memilih PAS yang beradasarkan Islam juga berhak mengamalkan segala ajaran agamanya.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: