18 September 2016

18 September 1994 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Dilantik Sebagai Mursyidul Am PAS

Pada hari ini dalam tahun 1994, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS yang kedua setelah Pak Yusof Rawa enggan dilantik semula kerana keuzuran. Dalam satu kenyataan tahniah Pak Yusof Rawa kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disiarkan oleh Harakah pada 14 Oktober 1994, bekas Mursyidul Am PAS itu menjelaskan bahawa keuzuran yang dihadapinya telah menghalang beliau berfungsi sebagai Mursyidul Am PAS, melainkan hanya pada jawatan sahaja. Perlantikan Menteri Besar Kelantan ke jawatan tertinggi PAS ini dibuat dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS bagi sesi 1994-1997 yang diadakan pada 18 September 1994.

Semenjak keuzuran Pak Yusof Rawa pada akhir 1988 yang memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 15 Februari 1989, telah secara tidak rasmi menjadikan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS yang menjalankan tugas-tugas beliau ketika beliau keuzuran sejak 8 September 1988. Mulai 1991, tugas Timbalan Mursyidul Am PAS dijalankan secara tidak rasmi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Untuk menangani masalah ini, pada 8 November 1992, satu pindaan Perlembagaan PAS telah dibuat dalam Muktamar Khas PAS yang antara lain untuk mewujudkan jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang berfungsi untuk “membantu tugas-tugas Mursyidul Am PAS dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS semasa ketiadaan Mursyidul Am PAS.” Apabila pindaan ini diluluskan pada awal 1993, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi tokoh pertama dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tokoh ulamak terkemuka dalam PAS yang dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sejak 1968 dan Pesuruhjaya PAS Kelantan sejak 1981 serta masih memegang jawatan-jawatan tersebut ketika dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Anak kepada Tuan Guru Haji Nik Mat Alim ini merupakan ulamak lulusan Darul Ulom, Deoband dan Universiti al-Azhar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (dahulunya Kelantan Hilir) (1967-1986) dan ADUN Semut Api (1986-1994), sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990. Dengan pengalaman politik beliau yang luas sejak 1967, beliau menjadi pemimpin PAS yang paling senior selain Pak Yusof Rawa dalam saf kepemimpinan PAS pada dekad 1990-an.

Ekoran perlantikan beliau sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS pada awal 1993, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi tokoh pertama dilantik ke jawatan tersebut secara rasmi dan menjalankasn tugas-tugas Mursyidul Am PAS ketika Pak Yusof Rawa keuzuran. Setelah dua penggal (1987-1991 dan 1991-1994) Pak Yusof Rawa memimpin PAS, beliau enggan dilantik semula untuk sesi 1994-1997. Atas dasar itu, dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS bagi sesi 1994-1997 pada 18 September 1994, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS, dan keputusan ini telah dimaklumkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 September 1994, sebelum ia disiarkan kepada umum oleh Harakah keluaran 10 Oktober 1994. Beliau telah memegang jawatan ini selama enam penggal iaitu sesi 1994-1997, 1997-2000, 2000-2004, 2004-2007, 2007-2010 dan 2010-2015, sehingga beliau meninggal dunia pada hujung sesi 2010-2015, iaitu pada 12 Februari 2015. Beliau kemudiannya digantikan oleh Tuan Guru Profesor Dato’ Dr Haron Din mulai 8 Mac 2015.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: