02 September 2016

02 September 1967 : Ahli Parlimen Kelantan Hilir (PAS) Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

Pada hari ini dalam tahun 1967, Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Haji Ahmad bin Abdullah atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Ahmad Perai telah meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya. Kecelakaan jalan raya yang berlaku di Chemor, Perak pada 30 Ogos 1967 telah menyebabkan beliau cedera parah dan dimasukkan ke Rumah Sakit Besar Ipoh, sebelum diterbangkan ke Kota Bharu pada 31 Ogos 1967. Pada hari Jumaat, dua hari selepas itu, kira-kira jam 6.25 petang, beliau menghembuskam nafas terakhir di Rumah Sakit Besar Kota Bharu. Ini adalah kematian berturut-turut wakil rakyat PAS selepas pembunuhan kejam ke atas Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu pada 3 Julai 1967.

Haji Ahmad Perai, seorang tokoh agama dan ahli perniagaan yang terkenal semenjak 1940-an adalah berasal dari Bagan Dalam, Seberang Perai yang lahir dalam tahun 1926. Kerana berasal dari Seberang Perai ini, nama beliau terkenal dengan panggilan 'Haji Ahmad Perai.' Dalam usia yang masih muda, beliau telah dibawa ke Mekah oleh keluarganya dan mendapat pendidikan agama di Tanah Suci selama 22 tahun. Kerana minatnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan, beliau bertolak ke Bombay dan memasuki sebuah universiti di sana sehingga lulus ijazah ekonomi. Beliau pulang ke Malaya sebelum Perang Dunia Kedua dan menceburi bidang perniagaan di Seberang Perai dan Kedah. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai Manager Peladang Trading, Alor Setar. Nama beliau mulai mendadak naik ekoran penglibatan beliau dalam gerakan pemulihan ekonomi Melayu Islam yang berpusat di Gunung Semanggol.

Beliau menyertai Persidangan Ekonomi di Maahad Il Ihya as-Syariff pada 23 Mac 1947 yang berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS), di mana Haji Ahmad Perai dilantik sebagai wakil Kedah dalam Jawatankuasa Kerja PEPERMAS, dan sekali gus terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PEPERMAS bersama Burhanuddin Ganjil (Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Se-Malaya), Ibrahim Fikri (Terengganu) dan Encik Judin (Perak), sedangkan Ustaz Abu Bakar al-Baqir menjadi Yang Dipertua Agungnya. Antara sumbangan terbesar PEPERMAS ialah menubuhkan Bank Kebangsaan Melayu pada 1 Julai 1947, diikuti oleh cadang menubuhkan Bank Peladang pada Disember 1947 untuk mengatasi masalah hutang dan riba yang ditanggung oleh para petani Melayu, dan rancangan mereka mewujudkan Bank Perdagangan. Walau bagaimanapun, selepas Persidangan Agama-Ekonomi pada 13-16 Mac 1948, PEPERMAS telah diserapkan sebagai sayap ekonomi Hizbul Muslimin selepas parti Islam yang pertama itu ditubuhkan di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948. Pergerakan mereka terhenti oleh Ordinan Darurat 1948 yang membawa Ustaz Abu Bakar al-Baqir ke kem tahanan selama empat tahun.

Apabila PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ahmad Perai tidak terlibat menubuhkan PAS, tetapi beliau mula bersama PAS dengan tertubuhnya PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952 yang diketuai oleh Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, beliau mula terlibat aktif, tetapi belum berjawatan dalam PAS. Pada 1957, beliau bertolak ke India untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, tetapi dipanggil pulang oleh PAS kerana menghadapi Pilihan Raya Umum 1959. Beliau telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu Hilir, sebelum bertukar ke kerusi Kelantan Hilir pada 1964. Selepas 1959, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PAS.

Ekoran kematian beliau pada 2 September 1967, kerusi Parlimen Kelantan Hilir telah kosong. PAS kemudiannya menamakan seorang tokoh agama muda, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Pulau Melaka sebagai calon PAS pada 25 September 1967. Kerana pencalonan ini, Ustaz Nik Abdul Aziz telah menyertai PAS pada 23 September 1967, sedangkan sebelumnya beliau hanya penyokong PAS. Dalam Pilihan Raya Kecil pada 21 Oktober 1967, beliau telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kelantan Hilir, sekali gus diangkat sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada 19 April 1968, jawatan yang dipegang sehingga 1995. Semenjak itu, nama Ustaz Nik Abdul Aziz menjadi terkenal sehingga terlantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan (1981-2013), Menteri Besar Kelantan (1990-2013) dan Mursyidul Am PAS (1994-2015).

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: