13 September 2016

13 September 2003 : Pemuda PAS Desak PAS Pusat Kemukakan Segera 'Blueprint' Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 2003, perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Nazri Chik Zain telah membuat desakan kepada PAS Pusat supaya mengemukakan dengan segera blueprint Memorandum Negara Islam kepada rakyat setelah ia diwar-warkan sejak era Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor lagi. Wakil Dewan Pemuda PAS Pusat itu membuat desakan tersebut ketika membahaskan Ucapan Dasar Pemangku Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003. Desakan Dewan Pemuda PAS ini adalah berlanjutan daripada cabaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 21 Julai 2001 supaya PAS mengemukakan secara bertulis konsep Negara Islam PAS yang mendorong Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober 2001 memutuskan untuk menggubal satu Memorandum Negara Islam.

Terdahulu, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47 pada 1-3 Jun 2001, Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya telah mempertegaskan tentang matlamat PAS untuk menegakkan Negara Islam, dengan kerjasama BA sebagai strategi ke arah perlaksanaannya. Penegasan PAS ini menimbulkan respon negatif DAP, tetapi Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 bertegas bahawa PAS tidak akan tunduk kepada DAP dalam mencapai tujuan Negara Islam, yang menyebabkan DAP keluar dari BA pada 22 September 2001. Mengambil kesempatan di atas krisis PAS-DAP dalam BA ini, pada 7 Julai 2001, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mendakwa bahawa Malaysia boleh disifatkan sebagai sebuah Negara Islam, diikuti oleh keputusan Muzakarah Daulah Islamiyah yang diadakan di Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2001, di mana bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh membentangkan kertas bertajuk “Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam.” Kemuncaknya, pada 29 September 2001, Presiden Umno itu telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

Di sebalik polemik Negara Islam yang ditimbulkan oleh Umno ini, pada 21 Julai 2001, Dr Mahathir Mohamad telah mencabar PAS supaya memperincikan secara bertulis bentuk Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS supaya rakyat dapat menilainya, dan Umno mula bergerak menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Presiden PAS pada 30 September 2001, kemudiannya mencabar Presiden Umno supaya mengisytiharkan secara rasmi Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dalam Parlimen. Dalam PAS sendiri, pada 15 Julai 2001, Dato’ Fadzil Mohd Noor telah mencadangkan supaya PAS mengadakan muzakarah tentang konsep Negara Islam dalam dunia moden dan akhirnya pada 12-13 Oktober 2001, telah dianjurkan Majlis Muzakarah Penghayatan Pemerintahan Islam dalam Demokrasi Abad Ke-21 di Kuala Terengganu, dan sebuah panel dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober 2001 untuk mengemukakan sebuah Memorandum Negara Islam. Pada 16 Oktober 2001, PAS telah mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah Memorandum Negara Islam akan dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, draf memorandum ini hanya dapat dibentang kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 9 Februari 2002 dan ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada 31 Mei 2002 dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48. Kemudian proses penggubalannya terhenti sehingga Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 11 Ogos 2002 mendesak ia disegerakan, selepas kematian Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002. Kerana beberapa isu besar yang berlaku seperti perlaksanaan hudud di Terengganu, isu kehadiran Menteri Besar Terengganu dalam peresidangan Islam di Makasar yang turut dihadiri oleh Ustaz Abu Bakar Basyir, isu geran perkapita sekolah agama rakyat dan lain-lain, telah menenggelamkan isu Memorandum Negara Islam, sehingga ia dibangkitkan semula oleh wakil Dewan Pemuda PAS Pusat dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 13 September 2003. Hasil dari desakan ini, pada 12 November 2003, PAS melancar dokumen Negara Islam sebagai model Negara Islam PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: