14 September 2016

14 September 1963 : Pemohonan PAS Kelantan Bagi Menghalang Penubuhan Malaysia Gagal

Pada hari ini dalam tahun 1963, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Kerajaan PAS Kelantan untuk mengisytiharkan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia 1963 sebagai “null and void, or alternatively, not binding the State,” sekali gus menamatkan perjuangan PAS untuk menentang penubuhan Malaysia. Pendirian PAS untuk menentang penubuhan Malaysia ini adalah berasaskan keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 yang menolak penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di Singapura pada 27 Mei 1961. Sebaliknya PAS bersetuju supaya sebuah Persekutuan Melayu Raya yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Berunai, Sarawak, Sabah, Republik Indonesia dan gugusan Kepulauan Melayu termasuk Filipina.

Penentangan PAS ke atas penubuhan Malaysia adalah berasaskan kepada beberapa faktor yang sifatnya “membahayakan orang Melayu,” antaranya:

I. Percantuman Malaysia ini akan melibatkan kemasukan seramai 1,384,100 orang bukan Melayu dari Singapura dan sekitar 500,000 orang bukan Melayu dari Borneo, berbanding 227,300 orang Melayu dari Singapura dan 750,000 orang Bumiputera dari Borneo. Sedangkan ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bilangan orang bukan Melayu seimbang dengan bukan Melayu, ditambah lagi dengan dasar kerakyatan jus soli yang akan menambahkan kerakyatan bukan Melayu dengan cepat;
II. Malaysia akan menenggelamkan orang Melayu yang berjumlah 3.2 juta orang, berbanding 4.7 juta orang bukan Melayu secara keseluruhan;
III. Malaysia akan membahayakan kedudukan bangsa Melayu dan orang Melayu akan sedikit demi sedikit tenggelam di dalam tanah airnya sendiri;
IV. Malaysia adalah bertentangan dengan kepentingan Tanah Melayu dan rakyat Melayu yang menjadi tunggak dalam negara ini.

Atas sebab-sebab untuk menjamin hak ketuanan bangsa Melayu ke atas negara ini, pada 16 Oktober 1961, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mencadangkan pindaan ke atas usul Perdana Menteri di Dewan Rakyat supaya memasukkan “Republik Indonesia dan Filipina serta gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain” dalam cadangan Malaysia. Kerana usul ini ditolak, Prof Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS menentang usul Malaysia yang dianggap bertentangan dengan kepentingan Tanah Melayu dan orang Melayu. Pada 1 Mei 1962, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengemukakan usul persendirian untuk memasukkan “didalam rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina,” tetapi usul ini dikalahkan di Dewan Rakyat. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Julai 1963 kemudiannya mengambil pendirian menentang penubuhan Malaysia dengan beberapa strategi termasuk menentangnya di Dewan Rakyat, mengirim memorandum kepada Indonesia, Filipina, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Raja-raja, Negara Arab dan Negara Afro-Asia dan ahli-ahli PAS tidak menyambut kelahiran Malaysia.

Salah satu pendirian penting PAS ialah supaya Kerajaan Kelantan menolak pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan Malaysia. Hasilnya, Kerajaan PAS telah mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dalam kes The Government of The State of Kelantan v. The Government of The Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj untuk memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penubuhan Malaysia sebagai tidak sah. Walau bagaimanapun, pada 14 September 1963, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Kerajaan PAS Kelantan yang dengan sendirinya menamatkan perjuangan PAS menentang penubuhan Malaysia.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: