25 September 2016

25 September 1994 : Semangat 46 Cadang PAS Bertanding Sekadar Di DUN Ditolak

Pada hari ini dalam tahun 1994, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil pendirian untuk menolak cadangan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) agar PAS memberikan fokus untuk bertanding di kerusi DUN sahaja dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka berlangsung dalam tahun 1995. Menurut cadangan PMS46, iaitu sekutu PAS dalam kerjasama politik PAS-Angkatan, PAS sewajarnya bertanding di kerusi DUN di negeri-negeri Melayu sahaja iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sedangkan semua kerusi Parlimen perlu diserahkan kepada PMS46. Cadangan ini telah dikemukakan oleh PMS46 dalam satu rundingan pengagihan kerusi antara kedua-dua parti pada 14 September 1994.

Kerjasama PAS-PMS46 yang asalnya terbentuk sejak 1988 kerana wujudnya kerjasama PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Hamim, PMS46 dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan setelah menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990. Antara strategi penyusunan kerusi pada 1990 ialah PAS diberikan kerusi DUN yang lebih banyak di Kelantan, sedang PMS46 mendapat lebih kerusi Parlimen, kerana PMS46 akan memimpin Kerajaan Pusat, sedangkan PAS akan memimpin Kerajaan Negeri. Atas sebab itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.

Sepanjang tempoh antara 1990 hingga 1994, PAS telah menyertai lima pilihan raya kecil iaitu DUN Serkam, Melaka (14 Disember 1991), DUN Jerlun, Kedah (19 Disember 1991), Parlimen Jerai, Kedah (4 Mac 1992), DUN Batu Talam, Pahang (28 Ogos 1993) dan DUN Sementa, Selangor (5 Februari 1994), sedangkan PMS46 hanya bertanding dalam satu kerusi sahaja iaitu DUN Kampung Raja, Terengganu (13 Oktober 1993). Sementara menghadapi siri-siri pilihan raya kecil yang memperlihatkan dominasi PAS walaupun kedua-dua parti tewas kepada BN di kesemua kersi tersebut, parti-parti pembangkang sebenarnya sedang berhadapan dengan polemik baru ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 30 Jun 1994. Parlimen mendapat tambahan 12 kerusi, sedangkan DUN Kelantan mendapat tambahan empat kerusi DUN.

Dalam rundingan-rundingan pengagihan kerusi antara kedua-dua parti pembangkang utama ini, khususnya di Kelantan selepas persempadanan baru, kedua-dua parti menuntut untuk diberikan kerusi-kerusi yang baru diwujudkan itu iaitu Parlimen Jeli serta DUN Pasir Pekan, Tanjung Mas, Pergau dan Kemahang di Kelantan. Bagi menyelesaikan rundingan dan membentuk strategi baru di mana PMS46 akan menguasai Kerajaan Pusat dan PAS menguasai negeri-negeri Melayu (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), PMS46 pada 14 September 1994 telah mencadangkan supaya PAS menyerahkan semua kerusi Parlimen kepada mereka, sedangkan semua kerusi DUN di empat buah negeri tersebut diserahkan sepenuhnya kepada PAS. Sedangkan pada 12 Mac 1994, Dewan Harian PAS Kelantan dimaklumkan bahawa PMS46 telah bersetuju untuk bertanding di Parlimen Jeli dan DUN Kemahang, manakala DUN Pasir Pekan dan DUN Tanjung Mas diserahkan kepada PAS.

Berasaskan cadangan yang dikemukakan oleh PMS46 dalam rundingan pada 14 September 1994 tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 25 September 1994 telah memutuskan untuk menolak cadangan tersebut kerana berpandangan suara PAS tetap perlu ada di Parlimen. Selain menolak cadangan PMS46 tersebut, PAS Pusat juga telah memutuskan agar kedua-dua parti mengeluarkan manifesto berasingan dan semua rundingan berkaitan agihan kerusi Parlimen diserahkan kepada kepemimpinan kedua-dua parti di peringkat pusat, sedangkan agihan kerusi DUN akan dirunding oleh kedua-dua parti di peringkat negeri. Dengan pendirian PAS ini, pengagihan kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum 1995 kekal dengan formula sebelumnya.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: