23 September 2016

23 September 1973 : Ustaz Abu Bakar Hamzah Tewas Dalam Pemilihan Yang Dipertua Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1973, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Senator Ustaz Abu Bakar Hamzah telah gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan Yang Dipertua Agung PAS apabila tewas kepada Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, Dato’ Mohd Asri Haji Muda dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973. Ini adalah kali pertama jawatan tertinggi PAS ditandingi sejak Dr Burhanuddin al-Helmy mengalahkan Prof Zulkifli Mohamad pada 25 Disember 1956 dan ia adalah kali terakhir dalam sejarah PAS sehingga hari ini. Perebutan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini berlaku ekoran krisis peribadi kedua-dua tokoh kanan PAS ini setelah Dato’ Mohd Asri Haji Muda bertindak memecat Ustaz Abu Bakar Hamzah yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan dari jawatan Setiausaha Agung PAS pada 26 Julai 1973.

Ustaz Abu Bakar Hamzah merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962 dan 1964-1966), sebelum terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 1971 dan dilantik menjadi Setiausaha Agung PAS serentak (1971-1973). Beliau dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok pada 1964 menggantikan Prof Zulkifli Mohamad dan beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan sepanjang 1972. Apabila Kerajaan Campuran terbentuk pada 1 Januari 1973, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebelum bertukar ke Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 10 September 1973. Tokoh yang berasal dari Perlis dan terkenal sejak awal 1950-an kerana menubuhkan Perintis Akademi Islam ini merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Perlis dan Yang Dipertua Parti Nahdatul Ulamak sebelum menyertai PAS pada 1955. Antara sumbangan terbesar beliau kepada PAS ialah membentuk hubungan rasmi PAS dengan Ikhwanul Muslimin, Mesir dan merangka tarbiyah PAS menggunakan sukatan Ikhwanul Muslimin sejak 1958.

Ketika berada di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, pada 28 Mac 1973, beliau menghadiri satu seminar anjuran Commonwealth Parliamentary Association di United Kingdom, diikuti oleh lawatan beliau ke Negara-negara Eropah dan Afrika Utara. Tempoh lawatan yang digunakan oleh beliau adalah bermula 24 Mac hingga 29 Julai 1973 yang dianggap oleh PAS sebagai satu tempoh yang terlalu lama memandangkan beliau adalah Setiausaha Agung PAS, di mana banyak kerja kepartian telah terabai. Ekoran itu, pada 25 Julai 1973, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memberhentikan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS, dan menolak rayuan beliau pada 11 Ogos 1973. Pemecatan beliau dari jawatan Setiausaha Agung PAS ini telah menimbulkan krisis peribadi antara beliau sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS dengan Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam pemilihan parti sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mendapat beberapa pencalonan sebagai Yang Dipertua Agung PAS, selain Dato’ Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Ketika Ustaz Hassan Adli mengambil keputusan menarik diri, Ustaz Abu Bakar Hamzah bertindak menandingi jawatan tertinggi tersebut, di samping turut mempertahankan jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Dalam pengumuman keputusan pemilihan pada 23 September 1973, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang mendapat 34 undi telah gagal mengatasi Dato’ Mohd Asri Haji Muda yang memperoleh 261 undi untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS, tetapi beliau terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Berlarutan dari krisis ini, kedua-dua tokoh ini terus berkonflik dan akhirnya pada 25 April 1974, Ustaz Abu Bakar Hamzah dipecat dari PAS dan terpaksa melepaskan jawatan beliau di Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 14 Mei 1974.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: