27 September 2016

27 September 1998 : Ustaz Fadzil Mohd Noor Lancarkan Pengisytiharan GERAK

Pada hari ini dalam tahun 1998, Pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor telah melancarkan Perisytiharan GERAK dalam satu perhimpunan terbesar di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar untuk mendesak kerajaan mengembalikan keadilan kepada rakyat. Perisytiharan GERAK ini dibuat adalah ekoran dari tindakan Kerajaan BN menyalahgunakan ISA untuk menahan musuh-musuh politik mereka dalam krisis politik 1998. Majlis perisytiharan yang dihadiri oleh lebih 200,000 rakyat ini sebenarnya adalah pelancaran penubuhan GERAK itu sendiri.

GERAK telah ditubuhkan pada 22 September 1998 dalam satu pertemuan parti-parti politik, NGO dan individu-individu ternama yang diinisiatifkan oleh PAS di Markaz Tarbiyah PAS Pusat. Dalam pertemuan ini mereka bersetuju agar ditubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang kemudiannya melantik Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pengerusi GERAK dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar sebagai Ketua Sekretariat GERAK, manakala setiap badan yang menyertai GERAK melantik dua orang wakil sebagai Ahli Jawatankuasa GERAK. GERAK disertai oleh PAS, PRM, DAP, PUM, JIM, ISMA, ABIM, PKPIM, SUARAM, CAP, TERAS, PKPIM, GAMIS, URUS, PPIK dan YATIM, selain tiga individu iaitu Dato’ Ishak Baharum (bekas Mufti Selangor), Prof Emeritus Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara) dan Dr Abdul Aziz Bari (pensyarah UIAM).

Isu kezaliman dan penyalahgunaan ISA ini bermula dengan krisis kepemimpinan Umno apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkrisis sehingga membawa kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dan pemecatan beliau sebagai ahli Umno keesokkannya. Ekoran itu, pada 8 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan gerakan Reformasi dan melakukan jelajah untuk menerangkan kepada rakyat tentang tuduhan liwat dan rasuah yang ditujukan ke atas beliau. Pada 20 September 1998, beliau mengadakan perhimpunan besar-besaran di Masjid Negara dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebagai kemuncak jelajah ini. Akibatnya, pada malam tersebut beliau ditahan di bawah ISA, diikuti oleh penahanan 16 orang lagi penyokong utama beliau di bawah ISA.

Mengambil langkah politik daripada tindakan zalim tersebut, PAS telah berjaya mempelopori penubuhan GERAK pada 22 September 1998 dan diikuti oleh pelancaran GERAK pada 27 September 1998. Dalam majlis pelancaran GERAK ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengemukakan Perisytiharan GERAK yang mengandungi beberapa tuntutan, antaranya ialah mendesak Kerajaan BN hendaklah menghentikan operasi penahan ISA serta-merta, menuntut supaya semua tahanan tidak dizalimi dan dianiaya serta mendesak semua tahanan dibebaskan dengan segera atau didakwa di mahkamah terbuka, sekali gus menghapuskan ISA. GERAK juga telah menyusun beberapa tindakan politik termasuk akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, menghantar surat tuntutan, membuat petisyen bantahan, menemui media dan wakil kedutaan asing serta mengadakan kempen-kempen kepada rakyat bagi mengembalikan keadilan kepada mereka.

Walaupun GERAK bukanlah sebuah kerjasama politik pilihan raya antara parti-parti pembangkang, sebaliknya adalah kerjasama kemanusiaan dan menentang kezaliman, PAS telah menerima dampak yang besar daripada penubuhan GERAK. Kemasukkan keahlian besar-besaran sehingga mencecah 15,000 orang sebulan dan pertumbuhan cawangan-cawangan PAS secara mendadak telah berlaku. Dalam konteks politik, GERAK telah menjadi perintis kerjasama pembangkang, terutama kerjasama PAS-DAP yang membawa kepada tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) pada 28 April 1998 yang menghasil kemenangan kepada PAS di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, sekali gus membolehkan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: