26 September 2016

26 September 1953 : Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan Letak Jawatan Yang Dipertuan Agung PAS

Pada hari ini dalam tahun 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi PAS dalam Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam. Beliau berbuat demikian setelah Mesyuarat Agung Khas PAS tersebut memutuskan supaya PAS bersama National Convention dan keluar dari National Conference. Ketika mengumumkan perletakan jawatannya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menegaskan bahawa beliau tidak dapat memimpin PAS yang mempunyai keputusan yang berbeza dengan pendirian peribadinya yang mahu PAS bersama National Conference.

Penglibatan PAS dalam politik nasional mulai menonjol apabila PAS menjadi parti Melayu tunggal yang menyertai National Conference tajaan 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar yang dikepalai oleh Dato’ Onn Jaafar pada 27 April 1953. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan selaku Yang Dipertua Agung PAS telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference. Menangani pengaruh Dato’ Onn Jaafar ini, Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra telah menubuhkan National Convention dan turut menjemput PAS menyertainya dalam perhimpunan pada 23 Ogos 1953. PAS kemudian turut menyertai National Convention anjuran Perikatan Umno-MCA serentak. Kedua-dua badan tersebut adalah bertujuan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri, di mana National Conference mahu pilihan raya umum diadakan dalam tahun 1956, sedangkan National Convention menuntut ia diadakan pada 1954.

Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang dilahirkan pada 1910 di Ulu Piol, Manong, Perak merupakan bekas pelajar di Madrasah Idrisiah dan berguru dengan Sheikh Abdullah Fahim, sebelum menamatkan Qismu Ali di Maahad Il Ihya as-Syariff di bawah Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah dan berguru Sheikh Hassan Said Yamani. Pulang dari Mekah pada 1938, beliau mengajar di Madrasah Idrisiah sebelum berhijrah ke Terengganu untuk mengikuti gurunya, Sheikh Hassan Said Yamani yang dilantik sebagai Mufti Terengganu. Selain belajar dengan Sheikh Hassan Said Yamani di Terengganu, beliau dilantik dengan pelbagai jawatan kerajaan termasuk Pemangku Pesuruhjaya Agama Terengganu pada zaman Jepun, di mana beliau pernah menyertai dua persidangan ulamak anjuran Gunseikan Bu. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menjadi Setiausaha Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (PERKASA) yang mula aktif dalam Umno sejak 1950.

Pada awal 1951, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatakuasa Penasihat Agama Umno merangkap Pengerusi Bahagian Agama Umno. Beliau juga adalah ulamak yang pertama dilantik menduduki Majlis Undangan Persekutuan pada 1951, sebelum beliau memimpin Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951 untuk menubuhkan PAS. Dalam persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama, sebelum dilantik semula dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas pada 3 Januari 1953 dan lantikan ketiga pada 27 Ogos 1953 iaitu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Bagan Datoh. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat agung di Bagan Datoh ini, beliau dikritik keras kerana tindakan PAS menyertai kedua-dua badan yang berlainan sikap secara serentak, dan didesak untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS.

Pada 11 September 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya PAS mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 bagi menentukan sama ada PAS bersama National Conference atau National Convention. Dalam mesyuarat agung khas ini, beliau telah mencadangkan supaya PAS bersama National Conference, tetapi Haji Ahmad Badawi Abdullah mencadangkan supaya PAS bersama National Convention. Apabila Mesyuarat Agung Khas PAS membuat keputusan supaya PAS bersama National Convention, beliau mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS sekali gus keluar dari PAS. Pada 27 September 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat rayuan supaya ia ditarik balik, tetapi beliau memberi syarat dengan PAS mengubah keputusannya. Oleh kerana syarat beliau ditolak oleh PAS, beliau memilih untuk kekal dengan keputusannya dan menyertai Parti Negara yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar pada 28 Februari 1954.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: