19 September 2016

19 September 2002 : Maklumat Belanjawan Alternatif Diancam Dengan Tindakan Undang-undang

Pada hari ini dalam tahun 2002, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu ancaman untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ekoran kenyataan beliau bahawa Belanjawan Alternatif 2003 yang dikemukakan oleh pembangkang adalah berasaskan maklumat dari pegawai tinggi kerajaan. Barisan Alternatif (BA) pada 17 September 2002 telah mengemukakan Belanjawan Alternatif yang dibentangkan oleh pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram di Parlimen yang menyaingi Bajet 2003 yang dikemukakan oleh kerajaan. Semenjak pembentukan pakatan pembangkang, BA pada 1999, pembangkang telah mengemukakan Belanjawan Alternatif di Parlimen sebagai bayangan kepada bajet sebenar.

Pembentangan Belanjawan Alternatif menjadi persoalan kerana ia telah mendedahkan maklumat-maklumat ekonomi negara sehingga pembangkang dapat mencadangkan dasar fiskal yang lebih baik untuk negara bagi tahun 2003. Antara cadangan menarik belanjawan ini ialah kenaikan gaji sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh 2003-2004 bagi sejuta kakitangan awam. Dalam satu kenyataan Pemangku Presiden PAS itu, cadangan yang dibuat oleh BA yang menggabungkan PAS, PKN dan PRM ini adalah berasaskan maklumat ekonomi yang diberikan oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Pendedahan ini telah menyebabkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 18 September 2002 membuat kenyataan bahawa pegawai kerajaan yang mendedahkan maklumat dan pihak yang menggunakan maklumat tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Pihak polis sendiri pada 19 September 2002 membuat satu kenyataan untuk menyiasat kebocoran maklumat ini kepada pembangkang.

Bertolak dari kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim ini, pada 19 September 2002, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno membuat kenyataan ancaman bahawa Pemangku Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang boleh diambil tindakan undang-undang jika didapati sengaja menghasut pegawai kerajaan bagi mendapatkan maklumat sulit kerajaan. Beberapa pihak yang berkait dengan BN kemudiannya membuat laporan polis terhadap pemimpin utama PAS itu lanjutan ancaman yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Umno. Pada 21 September 2002, Umno terus meningkatkan tekanan dengan desakan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu Ketua Pembangkang itu mendedahkan siapakah sumber yang memberikan maklumat kerajaan kepada BA. Tekanan Umno ini dilakukan serentak ke atas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS yang dikaitkan dengan isu ‘Tuhan samseng’ sejak 26 Julai 2002 dan isu Dr Mahathir tidak tahu membaca al-Quran pada 23 September 2002.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Menteri Besar Terengganu walau bagaimanapun, dalam kenyataannya pada 23 September 2002 menjelaskan bahawa penyediaan Belanjawaan Alternatif itu adalah berdasarkan maklumat Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan ahli-ahli korporat. Pada akhir September 2002, pihak polis kemudiannya bertindak mengambil keterangan daripada Pemangku Presiden PAS, yang diikuti oleh siasatan yang dibuat terhadap dua lagi pemimpin PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan Dr Rosli Yakob pada awal Oktober 2002. Isu ini walau bagaimanapun berakhir apabila siasatan yang dibuat oleh polis gagal menemui sebarang bukti yang boleh disabitkan di bawah mana-mana undang-undang dan ia berakhir tanpa sebarang pendakwaan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: