28 November 2021

Phablet Samsung Galaxy Note 20 : Antara Pilihan Profesional Masa Kini

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Selepas sembilan (9) tahun dengan 13 versi berbeza sebelum ini, Samsung Galaxy Note kembali lagi pada Tahun 2020 dengan tujuan memberikan pengalaman baharu berbanding tahun sebelumnya. Dengan pelancaran Samsung Galaxy Note 20, peranti yang dahulunya merevolusikan saiz skrin yang besar dan penggunaan stylus, ia sekali lagi cuba membuktikan bahawa ia adalah 'pengganti' komputer riba yang boleh diandalkan.

Untuk iterasi ke-14 siri Galaxy Note, Samsung kini lebih menumpukan perhatian kepada memperbaiki kekurangan yang dilaporkan oleh pengguna. Tiada lagi evolusi besar pada ciri dan pengenalan iterasi yang berguna diutamakan. Berdasarkan pandangan rakan-rakan Amanz Media yang mendapat akses awal untuk Samsung Galaxy Note 20 pada 5 Ogos 2020, ini ialah pandang pertama untuk phablet unggul yang ingin memikat hati pengguna profesional.

Pilihan skrin yang diberikan adalah 6.7″ Super AMOLED Plus. Kadar segar semula skrin untuk Samsung Galaxy Note 20 terhad hanya sehingga 60Hz. Perisian akan menetapkan kadar segar semula skrin berdasarkan aplikasi yang digunakan. Secara teorinya, penggunaan bateri peranti akan lebih baik berbanding pada Samsung Galaxy S20 Ultra yang terjejas teruk dalam mod 120Hz.

Selain itu, skrin pada Samsung Galaxy Note 20 adalah rata. Ia juga mempunyai pengimbas cap jari ultrasonik yang terbina dalam skrin pada peranti bagi yang masih memerlukan nyahkunci biometri. Oleh sebab ini, rakan-rakan Amanz Media merasakan rekaan Samsung Galaxy Note 20 adalah lebih menarik tahun ini dengan bahagian sisi dan skrin rata. Kerana rekaan sisi yang lebih rata ini juga, peranti terasa lebih selesa dan kemas di dalam tangan dengan pengalaman menonton video yang tidak terganggu dengan sebahagian video melimpah ke sisi.

Di Malaysia, pemproses Exynos 990 digunakan semula, tidak seperti pasaran lain yang menggunakan Snapdragon 865+. Keputusan ini mungkin tidak akan disenangi oleh sesetengah pengguna, tetapi Samsung berkata bahawa perbezaan prestasi sebenar tidak akan kelihatan. Dari pengalaman penggunaan selama beberapa minit semalam, rakan-rakan Amanz Media merasakan bahawa ia masih lagi lancar setanding dengan apa yang kami nikmati pada Samsung Galaxy S20 yang menggunakan cip yang sama. Saiz RAM pada Samsung Galaxy Note 20 ialah 8GB. Model ini hanya akan ditawarkan dengan storan 256GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB. Buat pertama kali juga, Samsung Galaxy Note 20 akan ditawarkan dalam versi 5G.

Kita bergerak pula pada kamera. Samsung Galaxy Note 20 menggunakan kombinasi 12+12+64 Megapixel. Sensor terbesar dipadankan pada lensa telefoto dengan kemampuan zum optikal hibrid sehingga 3X dan zum digital sehingga 30X. Dua lagi sensor dipadankan dengan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar. Bagi menyokong sistem tri-kamera yang dipertingkatkan berbanding Samsung Galaxy Note 10, bonggol kamera yang amat besar digunakan pada siri Samsung Galaxy Note 20. Ia adalah sebesar yang ditemui pada Samsung Galaxy S20 Ultra. Akibatnya, peranti mustahil untuk diletakkan rata pada permukaan meja.

Pujian masih ingin kami berikan pada Samsung kerana sekurang-kurangnya saiz lensa pada siri Samsung Galaxy Note 20 kali ini adalah lebih sekata. Tri-kamera nampak seimbang dan tidak lagi canggung. Samsung mengambil inspirasi dari iPhone 11 Pro untuk mendapatkan rekaan tri-kamera yang walaupun berbonggol besar tetapi sekurang-kurangnya masih sedap mata memandang. Peranti juga terasa lebih seimbang di dalam tangan.

Isu bahagian atas lebih berat pada Samsung Galaxy S20 Ultra nampaknya berjaya diselesaikan. Peranti ini selesa di dalam genggaman kami walaupun saiznya adalah besar. Ini mungkin kerana rakan-rakan Amanz Media sudah membiasakan diri sejak Februari 2020 menggunakan Samsung Galaxy S20 Ultra, Black Shark 3 Pro dan ASUS ROG Phone 3 yang juga bersaiz lebih besar berbanding majoriti peranti di pasaran. Oleh itu, rakan-rakan Amanz Media tidak boleh menjamin siri Samsung Galaxy Note 20 akan turut selesa digunakan oleh anda. Yang pasti mereka yang bertangan kecil pasti mempunyai isu untuk menggunakan peranti ini dengan sebelah tangan.

Bercakap tentang rekaan, dua lagi perubahan besar pada rekaan perlu kami ketengahkan. Pertama sekali ialah butang kuasa dan laras suara kini diubah semula ke sisi kanan. Terima kasih Samsung kerana mendengar keluhan pengguna yang merungut butang sisi kiri Samsung Galaxy Note 10 yang amat canggung untuk digunakan. Satu langkah kanan ke hadapan ini kemudian dibatalkan dengan langkah kiri kerana tempat simpanan S Pen diubah pula ke sisi kiri. Ini ialah kali pertama ia dilakukan sejak generasi pertama.

Sepanjang sesi pandang pertama kami terpaksa mengingatkan diri S Pen kini terletak pada pada sisi kiri. Keputusan ini kami yakin hanya akan menggembirakan mereka yang bertangan kidal atau pengguna baharu Note. Akhir sekali ialah kapasiti bateri yang hanya sedikit lebih besar digunakan tahun ini dengan sistem pengecasan lebih pantas. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka berketebalan 8.3mm yang kalis air IP68.

Antaramuka

Sistem operasi Android 10 digunakan dengan pelancar Samsung One UI 2.5. Tiada perubahan ketara dilakukan jika dibandingkan dengan One UI 2.1 yang kini digunakan pada siri Samsung Galaxy S20 sekarang. Ia masih lagi antara pelancar yang minimalis di pasaran dengan pelbagai ciri tambahan Samsung bagi memberikan pengalaman yang lebih baik berbanding Android asli. Tatalan peranti adalah amat lancar. Tiada sela masa dapat dirasakan oleh rakan-rakan Amanz Media walaupun peranti ujian yang diberikan tidak menggunakan perisian versi akhir. Oleh itu, rakan-rakan Amanz Media tidak boleh memberi komen panjang mengenai perisian pada waktu ini. Apa yang mereka boleh komen ialah beberapa penambahbaikan pada perisian S Pen, Samsung Dex dan kamera.

S-Pen Lebih Pantas Dengan Gestur Baharu

Masa pendam S Pen dikurangkan dari 30ms ke 9ms sahaja bersamaan dengan 70%. Ini akhirnya meletakkan masa pendam S Pen setanding dengan Apple Pencil. Pergerakan mata pena yang lebih jitu dapat dinikmati terutamanya di dalam aplikasi lukisan digital. Air Gesture turut dipertingkat dengan sokongan gestur tambahan yang membolehkan pengguna melakukan aksi kembali ke muka hadapan peranti, melakukan aksi back dan pergi ke skrin multi-tugas dengan melakukan lakaran di udara menggunakan S Pen. Gestur kegemaran rakan-rakan Amanz Media ialah melakukan tangkap layar dengan melakukan aksi contengan udara. Kesemua Air Gesture tahun lalu untuk melancarkan kamera, menekan butang kamera, kawalan zum serta kawalan audio masih lagi disokong.

Wireless DeX

Ini ialah ciri yang sudah dua tahun diminta dan dijanjikan kepada rakan-rakan Amanz Media oleh pihak Samsung. DeX kini boleh digunakan pada skrin yang menyokong format Miracast tanpa sebarang sambungan berwayar. Skrin Samsung Galaxy Note 20 kemudian boleh digunakan sebagai pad sesentuh, skrin sekunder yang dicermin kandungannya atau sebagai skrin televisyen pintar biasa. Pada waktu ini, rakan-rakan Amanz Media difahamkan oleh wakil Samsung bahawa sokongan Wireless DeX akan diberikan terlebih dahulu kepada televisyen pintar keluaran Samsung tahun 2019 dan ke atas. Tiada maklumat sama ada televisyen pintar pengeluar lain akan disokong juga pada masa hadapan.

Samsung Notes Dipertingkatkan

Tumpuan tahun ini diberikan juga pada aplikasi Samsung Notes yang akhirnya boleh mengimport fail PDF untuk disunting. Pengguna bebas melakukan suntingan ke atas fail PDF ini sebelum kemudiannya disimpan dalam format Samsung Notes, Microsoft Words dan PowerPoint buat pertama kali. Kesemua nota-nota kini boleh disimpan di dalam folder tersendiri yang lebih tersusun. Pengguna kemudian boleh melakukan carian semula mengikut nama folder atau tahun nota yang dihasilkan. Dengan struktur menyimpan fail yang lebih mirip sebuah desktop, masalah lambakan nota yang sukar dicari semula mampu diselesaikan. Akhir sekali terdapat sokongan anotasi audio yang turut merakam pergerakan lakaran pada dokumen Samsung Notes. Pengguna boleh mendengar semula audio yang disimpan dengan lakaran dimainkan semula pada waktu yang sama. Note yang dihasilkan kini tidak lagi sekadar statik.

Kamera Lebih Pro

Seterusnya ialah mod profesional ketika pengambilan audio yang dipertingkat. Pengguna boleh memilih mikrofon manakah ingin digunakan. Mikrofon boleh menumpukan subjek di hadapan kamera, subjek menggunakan kamera swafoto atau buat pertama kali input audio dari mikrofon bluetooth. Menerusi demo yang diperlihatkan sokongan mikrofon bluetooth pada waktu ini disokong pada Galaxy Buds Live. Zum juga boleh dilakukan dengan kelajuan yang lebih sekata. Hanya pilih kelajuan yang diinginkan dan tekan butang zum. Zum perlahan 1X ataupun zum dramatik seperti sinetron Indonesia turut boleh dilakukan dengan menekan satu butang.

Xbox Game Pass Premium

Seperti yang telah tertiris sebelum ini, Samsung Galaxy Note 20 akan menjadi peranti pertama menyokong perkhidmatan penstriman Xbox Game Pass Premium. Menerusi teknologi Xcloud, 100 permainan konsol berkualiti tinggi boleh terus distrim kepada peranti dengan sokongan alat kawal Xbox. Memandangkan sokongan Xbox masih tiada di Malaysia, kebarangkalian perkhidmatan ini disokong di negara kita malangnya adalah amat rendah.

KESIMPULAN

Tahun lalu ramai melihat Samsung Galaxy Note 10 sebagai peranti yang jauh lebih baik berbanding Samsung Galaxy S10 memandangkan ia dilengkapi pemproses yang lebih berkuasa, skrin lebih besar dan sokongan S-Pen. Tahun 2020 ini, jurang di antara peranti adalah lebih kecil dengan Samsung Galaxy S20 Ultra yang mempunyai kemampuan zum yang lebih baik, tetapi diimbangkan pula dengan Samsung Galaxy Note 20 yang mempunyai sokongan S-Pen. Model tahun ini lebih mementingkan penambahbaikan pada peringkat perisian berbanding perkakasan. Lebih banyak fungsi gestur menggunakan S-Pen dan paling penting sekali Samsung Notes kini menyokong lebih banyak jenis fail untuk meningkatkan produktiviti di luar pejabat. Samsung jelas ingin membezakan siri Galaxy S dan Galaxy Note tahun ini selepas bertahun Note dilihat sebagai pilihan lebih bijak kerana setanding dengan Galaxy S. Tahun ini pengguna perlu memilih inginkan peranti untuk kegunaan kerja atau inginkan peranti yang menumpukan kepada kemampuan fotografi. Dengan kesemua penambahbaikan ini, Samsung Galaxy Note 20 pada hemat kami akan mengekalkan statusnya siri Galaxy Note sebagai phablet profesional pilihan untuk tahun ke sembilan berturut-turut. Kombinasi kuasa dan fungsinya masih belum mampu ditandingi pada waktu ini.

Pro:
  • Spesifikasi yang tinggi mampu memberikan pengalaman penggunaan yang lebih dari memuaskan.
  • Rekaan tubuh yang kemas serta premium dengan kedudukan butang yang lebih ergonomik.
  • Cir-ciri baharu yang akan membantu mereka yang bekerja di luar rumah menggunakan telefon pintar seperti sokongan PDF pada Samsung Notes.
  • Penambahbaikan kemampuan kamera berbanding tahun lalu.
  • S Pen semakin pantas dengan masa pendam hanya 9ms.

Kontra:
  • Di Malaysia masih menggunakan Exynos 990 sahaja sedangkan di pasaran lain Snapdragon 865+ digunakan dan ia lebih berkuasa.
  • Bonggol kamera yang semakin besar sehingga terjongket di atas permukaan meja.
  • Kedudukan tempat simpanan S Pen yang agak drastik.
  • Kapasiti bateri yang agak kecil untuk peranti berskrin besar.

Tiada ulasan: