02 Disember 2022

Kerajaan Perpaduan Atau Kerajaan Campuran ?

Pakatan Harapan (PH) pada hari ini telah memperbodohkan rakyat dengan penggunaan istilah 'Kerajaan Perpaduan' (Unity Government).

Hakikatnya, sebuah Kerajaan Perpaduan perlu dianggotai oleh semua parti politik yang menyokong atau yang tidak sehaluan, yang kebiasaannya dicadangkan apabila sebuah kerajaan majoriti tidak dapat dibentuk oleh mana-mana gabungan parti-parti politik yang menang dalam suatu Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri.

Ini bertepatan dengan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tempoh lalu dalam menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh (PM Ke-10) dan pembentukan Kerajaan Persekutuan. Saranan ini semestinya bukanlah suatu campur tangan dari pihak Istana ke atas sistem politik negara, tetapi sekadar satu pandangan pada hemat baginda YDPA bagi menyelesaikan kemelut yang timbul. Tidak timbul juga isu bahawa Kerajaan Perpaduan ini harus diikuti oleh semua parti politik yang menang di dalam PRU yang lepas kerana ia juga bukanlah suatu titah yang diwartakan.

Walau bagaimanapun, saranan ini telah berubah apabila Barisan Nasional (BN), melalui Pengerusinya (yang juga merupakan Presiden UMNO) telah mengkhianati mandat ahli-ahlinya sendiri apabila menyatakan sokongan kepada PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan. Laungan "No Anwar, No DAP" dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu rupa-rupanya sekadar kata-kata dusta yang dijanjikan oleh pemimpin yang mereka percayai mampu membawa parti mereka ke arah yang lebih baik.

Oleh sebab itu, Kerajaan Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 ini sebenarnya adalah sebuah 'Kerajaan Campuran' (Grand Coaliation Government) yang terdiri daripada PH, BN dan beberapa parti pro-kerajaan, bukan Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang diuar-uarkan di media massa.

PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh ini akan membarisi perwakilan pembangkang di Dewan Rakyat bagi memainkan peranan 'semak dan imbang'. Pendirian ini diambil atas mandat pengundi yang telah memilih PN dalam PRU Ke-15 yang lepas, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip panduan PN BEST: iaitu menjadi pemimpin negara yang #PrihatiN, #BErsih dan #STabil.

Dalam masa yang sama, PAS (dan PN) juga sentiasa bersedia untuk menggantikan UMNO (dan BN) pada hari ini bagi memperjuangkan hak rakyat Malaysia, terutamanya nasib umat Islam dan bangsa Melayu (tanpa menafikan hak bangsa-bangsa lain), serta beriltizam untuk membentuk sebuah negara #MalaysiaSejahtera yang makmur dan harmoni.

Tiada ulasan: