24 Disember 2022

Selesaikan Dahulu Isu Monopoli Dan Kartel, Bukan Sekadar Menasihati Rakyat 'Pilih Kedai'

Dalam teori ekonomi, keseimbangan pasaran berlaku apabila kuantiti permintaan berpadanan dengan kuantiti yang ditawarkan pada suatu tingkat harga yang tertentu. Kadangkala, lebihan permintaan juga boleh berlaku apabila kuantiti yang ditawarkan tidak mencukupi, dan begitu jugalah sebaliknya. Ketidakseimbangan pasaran inilah yang akan mempengaruhi harga sesebuah barangan.

Dalam hal ini, YB Rafizi Ramli (selaku Menteri Ekonomi) telah memberi cadangan kepada rakyat agar menjauhi peniaga yang menjual barangan mereka dengan harga yang dirasakan terlalu tinggi daripada harga yang dikenakan oleh peniaga-peniaga lain. Dengan itu, secara teorinya, faktor permintaan yang berkurangan (akibat harga yang terlalu tinggi itu) akan menekan peniaga tersebut menurunkan harga jualannya.

Hakikatnya, gangguan terhadap keseimbangan pasaran berlaku apabila isu monopoli dan kartel tidak ditangani oleh Kerajaan Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (Kerajaan PH-BN) secara serius. Kerajaan PH-BN perlu menyatakan pendirian mereka dan bertindak segera terhadap permasalahan ini, tidak 'memilih bulu' dalam isu monopoli dan tidak memberi solusi 'lepas tangan' atas alasan kesedaran rakyat sebagai pengguna. Sebagai contoh, sekiranya peniaga atau kumpulan peniaga tertentu sahaja yang menguasai pasaran, apakah pilihan yang ada bagi rakyat (sebagai pengguna) untuk memilih barangan yang lebih murah?

Selain itu, Kerajaan PH-BN perlu menyedari bahawa sistem kapitalisme yang telah diamalkan oleh golongan kaya menyukarkan masyarakat untuk melaksanakan sesuatu kewajaran secara drastik bagi menyelesaikan isu ketidakseimbangan pasaran. Sudah pasti rakyat yang miskin terpaksa memilih barang yang murah dengan kualiti yang tidak memberangsangkan, yang kaya terus diberi peluang untuk memilih barang yang lebih baik dan berkualiti, tanpa perlu membuat perbandingan harga sesuatu barangan. Impaknya, harga tinggi yang dikenakan tidak memberi tekanan kepada peniaga sebagaimana cadangan yang diutarakan oleh YB Menteri pada waktu ini.

Sekiranya masih tiada campur tangan serius daripada Kerajaan PH-BN dalam permasalahan ini kerana (mungkin) masih belum ada lagi 'formula-formula' yang sesuai, ketahuilah bahawa rakyat Malaysia pada hari ini sedang 'menyukat' tempoh umur Kerajaan PH-BN yang selayaknya dalam mentadbir negara Malaysia dalam usaha membangunkan ekonomi yang mampan.

Tiada ulasan: