20 Mei 2016

20 Mei 1964 : Dewan Rakyat Lulus Usul Takziah Kepada Prof. Zulkifli Mohammed

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Dewan Rakyat telah menerima dan membahas usul Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra untuk merakamkan ucapan takziah dan berduka cita di atas kematian Ahli Parlimen Bachok, Prof Zulkifli Mohammed yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Dalam usulnya, Perdana Menteri menyifatkan kematian mengejut dalam kemalangan jalan raya ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana beliau telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Prof Zulkifli Mohammed yang dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar pada 22 Mac 1927 telah mendapat pendidikan tinggi di Mesir dan pernah mengikuti pengajian haraki di bawah bimbingan asy-Syahid Ustaz Hassan al-Banna antara 1947-1949, sebelum menyertai PAS pada Mei 1955. Bekas Setiausaha dan Pensyarah Kolej Islam Malaya ini dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 25 Disember 1956 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 1959. Dalam Pilihan Raya Umum pada 25 April 1964, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bachok, tetapi terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Gambang, Kuantan pada 6 Mei 1964 bersama isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kematian Prof Zulkifli Mohammed ini telah mengejutkan seluruh negara kerana beliau terkenal sebagai seorang ahli parimen yang lantang dan sangat komited dengan isu-isu rakyat. Beliau sangat fokus terhadap isu Islam, ketuanan Melayu, bahasa, pendidikan, industri kecil, pekebun getah, pembangunan luar bandar, ISA, Palestin, pelarian Algeria dan lain-lain. Beliau terkenal kerana ucapannya selama empat jam di Dewan Rakyat ketika membahaskan isu penubuhan Malaysia.

Mengenangkan pemergian beliau, pada 20 Mei 1964, Perdana Menteri telah mengemukakan satu usul takziah dan berduka cita kepada beliau. Turut membahaskan usul ini bagi melahirkan simpati dan takziah ialah Tan Siew Sin (MCA - Melaka Tengah) yang juga Menteri Kewangan, Dato' V.T Sambathan (MIC - Sungai Siput) merangkap Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi, Lee Kwan Yew (PAP - Singapura) yang juga Perdana Menteri Singapura, Tan Chee Khoon (SF - Batu), D.R Seenivasagam (PPP - Ipoh), Dr Haji Megat Khas (Umno - Kuala Kangsar), Dr Lim Chong Eu (UDP - Tanjung), Wan Abdul Kadir Ismail (Umno - Kuala Terengganu Utara) dan Lim Huan Boon (Parti Buruh Singapura - Singapura).

Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh) ketika berucap mewakili PAS dalam membahaskan usul ini menyifatkan kematian Prof Zulkifli Mohammed sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PAS, tetapi juga kepada seluruh Parlimen kerana beliau adalah Ahli Parlimen yang sangat bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. PAS juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dengan masa depan anak-anak beliau.

Usul ini kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat yang diikuti oleh tafakur kerana menghormati kematian beliau. Usul Dewan Rakyat berbunyi, "Bahawa Majlis ini berhasrat merakamkan perasaan kehilangan besar dan duka cita yang amat sangat atas kematian Enche' Zulkiflee bin Muhammad." Pada 11 Julai 1964, Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra telah menganugerahkan bintang Dato' Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) yang membawa gelaran Dato'.

Tiada ulasan: