24 Mei 2016

24 Mei 1965 : PAS Sifatkan Malaysia Bukan Sebuah Negara Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1965, Jabatan Penerangan PAS Pusat menerusi risalah bulanannya, 'Kursus Politik dan Islam' telah menyifatkan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963 adalah bukan sebuah negara Islam, sebaliknya adalah negara sekular kerana Perlembagaannya tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan hukum tertinggi, selain turut memisahkan negara dari urusan agama. Penegasan ini adalah sebahagian daripada siri-siri penerangan tentang konsep politik Islam yang diterbitkan secara bulanan antara April hingga Disember 1965.

Persoalan tentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah timbul sejak 1957 kerana memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid telah mencadangkan supaya dipisahkan agama daripada negara dan mahukan supaya Tanah Melayu menjadi "negara keduniaan (secular state)." Bahkan, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dalam penjelasannya di Parlimen pada 1958, telah mempertegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah bukan negara Islam. Ini berbeza dengan pendirian PAS sejak perundingan menuntut pilihan raya segera pada 1953 sudah mempertegaskan tentang kedudukan Islam dalam pemerintahan dan terus diperjuangkan sehingga Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 dalam usaha menjadikan Islam sebagai dasar negara.

Ketika Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keenam pada 24 Ogos 1957 telah menjelaskan, "Pengakuan (Islam sebagai agama Persekutuan) tidak terpakai pada sisi hukum Islam kalau sekadar hanya dituliskan sahaja Islam sebagai agama negara, tetapi baharulah boleh dipakai pengakuan agama Islam itu menjadi agama rasmi ialah apakala aturan-aturan dan hukum-hukum serta undang-undang asasi yang difikirkan oleh kerajaan itu dibina di atas undang-undang Islam dan daripada Islamlah keluar undang-undang itu dan dari Islamlah diambil sesuatu hukum dan pengambilan hukum juga dikembalikan kepada Islam, hakim (pemerintah) yang menyuruh dengan hukum Islam dan melarang pun dengan hukum Islam. Maka bagaimanakah sahnya Islam jadi agama rasmi, padahal pada tulisan sahaja, sedangkan undang-undang (adalah) rekaan manusia, pengambilan hukum dari undang-undang rekaan itu, mengembalikan hukum kepada undang-undang itu dan keputusan pun diletakkan atas undang-undang itu?"

Atas asas ini, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pada 25 Disember 1958 telah mempertegaskan kedudukan aqidah orang yang tidak melaksanakan hukum Allah dalam pemerintahan yang boleh menjadi fasiq, zalim atau kafir, dan mempertegaskan kewajipan PAS berjuang menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat Allah. Pendirian ini telah disahkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958. Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Februari 1959 telah mengambil pendirian supaya PAS menjadikan pilihan raya sebagai wasilah untuk menguasai negara secara muwajhah silmiyah dan seterusnya menegakkan hukum Allah.

Untuk menerangkan kepada ahli-ahli PAS tentang pemikiran politik Islam ini, Jabatan Penerangan PAS Pusat mulai April 1965 telah menerbitkan 'Kursus Politik dan Islam' secara bersiri. Ia telah menjelaskan kewajipan adanya parti politik Islam untuk membolehkan umat Islam berpolitik secara Islam, sedangkan parti-parti yang berasaskan ideologi moden tersesat dari jalan Allah (April 1965), kewajipan menegakkan negara yang melaksanakan syariat (27 April 1965), kedudukan Malaysia sebagai bukan sebuah negara Islam (24 Mei 1965), perbuatan mempermainkan hukum syariat dengan menerima hukum ibadat, tetapi menolak undang-undang syariat adalah thoghut (12 Jun 1965), melarang orang Islam berketuakan orang kafir (30 Julai 1965), orang Islam tidak boleh tunduk kepada orang Islam yang tidak melaksanakan syariat (30 Ogos 1965) dan kewajipan umat Islam menegakkan negara baldatun tayyibatun warabbun ghafur. Siri-siri penerangan ini telah membentuk kefahaman ahli-ahli PAS tentang kedudukan politik umat Islam semasa.

Tiada ulasan: