23 Mei 2016

23 Mei 2010 : Dewan Himpunan Penyokong PAS Dilancarkan Secara Rasmi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2010, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan secara rasmi penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Dewan Pejabat Tanah Kelang, Kelang sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong yang bukan Islam. Ketika pelancaran ini dibuat, DHPP telah mempunyai lebih 20,000 ahli yang asalnya merupakan ahli Kelab Penyokong PAS (KPP). Sebelum ini, pada 10 Januari 2010, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluluskan rang Aturan dan Peraturan DHPP bagi membolehkan KPP dinaiktarafkan menjadi sebuah Dewan untuk ahli bukan Islam.

Isu keahlian bukan Islam dalam PAS telah dibincangkan sejak 3 Oktober 1956 lagi dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammed pernah mencadangkan pada 3 Disember 196 1 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Namun begitu, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan sehingga Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pada 17-19 April 1981 memutuskan supaya PAS mendekati bukan Islam sebagai strategi dakwah dan politiknya. Hasilnya, pada1985, PAS telah menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC) sebagai wasilah PAS dengan masyarakat Cina, tetapi selepas Pilihan Raya Umum 1986, CCC telah berakhir.

Perubahan politik yang berlaku pada 1998 telah membawa kepada permintaan orang bukan Islam untuk menyertai PAS dan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor berjanji untuk PAS mengkaji semula kedudukan ahli bersekutu. Sebagai langkah awal, mulai 1999 telah ditubuhkan Jabatan Antara Budaya yang kemudiannya diserapkan dalam Lajnah Perpaduan Nasional. Ekoran tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001, PAS mengambil langkah mewujudkan hubungan yang lebih rapat dengan orang Cina. Selepas pelancaran Dokumen Negara Islam (DNI) pada 12 November 2003, PAS telah mengadakan siri-siri penerangan tentang DNI yang turut melibatkan orang bukan Islam di Kelantan (12 Disember 2003), Terengganu (19 Disember 2003), Pahang (21 Disember 2003), Kedah (25 Disember 2003), Selangor (4 Januari 2004), Johor (25 Januari 2004) dan Perak (Februari 2004) sehingga akhirnya tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP). Antara program terawal melibatkan KPP ialah Majlis Muhibbah bersama Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Seremban pada 23 Februari 2004. Menjelang Pilihan Raya Umum 2004, Presiden PAS telah secara rasmi melancarkan KPP di Taman Melewar pada 11 Mac 2004.

Ketika KPP dilancarkan ini, kebanyakkan pendukung KPP adalah orang Cina. Kemudian, KPP berjaya diperluaskan kepada bangsa lain apabila KPP India ditubuhkan pada 2005, diikuti oleh KPP Iban (2006) dan KPP Siam (2007). Pada 11 September 2007, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melancarkan logo KPP dengan Tema "PAS For All". KPP terus berkembang apabila berjaya mengadakan Konvensyen KPP Pertama pada 2007 bertema "Kerajaan Berkebajikan Untuk Semua" dan Konvensyen KPP Kedua pada 2009 dengan tema "Stay United, Brave the Challenges."

Melihat kesungguhan orang bukan Islam mendukung perjuangan PAS ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Oktober 2008 telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang diketuai oleh Ustaz Hassan Shukri untuk menggubal peraturan KPP sebagai sebuah Dewan. Dalam Retreat Pimpinan PAS Pusat di Langkawi pada 7-8 November 2008, sebuah cadangan dari Jawatankuasa Teknikal bertajuk "Keahlian Bukan Islam Dalam Organisasi PAS" telah diterima sebagai panduan, sebelum Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meluluskan Aturan dan Peraturan DHPP pada 10 Januari 2010. Sejak itu, DHPP yang ketika ini dipimpin oleh Hu Phang Chow telah bergerak sehingga ia dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2010.

Tiada ulasan: