03 Mei 2016

03 Mei 1953 : PAS Tidak Hadiri Muzakarah Ulamak Anjuran Kaum Muda Kerana Gagal Penuhi Syarat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Muzakarah Ulamak anjuran kelompok Kaum Muda di Chung Long School, Pulau Pinang berakhir tanpa penyertaan PAS. Muzakarah yang dianjurkan oleh Ketua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang, Haji Ibrahim Aqibi ini telah bermula 2 Mei 1953 selama dua hari dan turut disertai oleh Ulamak Kaum Muda terkenal, Haji A Hassan Bandung dari Indonesia. Ia telah diadakan sebagai lanjutan daripada Muzakarah Ulamak Se-Malaya anjuran PAS di Kepala Batas pada 4 Januari 1953 yang dikuasai oleh ulamak Kaum Tua.

Isu muzakarah ini timbul apabila beberapa perkara khilafiyah telah dipolemikkan di media massa sepanjang tahun 1952, iaitu sebalik sahaja PAS ditubuhkan yang menyebabkan dua aliran ulamak dalam PAS bergeser. Ulamak Kaum Muda yang dipimpin oleh Haji Ibrahim Aqibi berpolemik dengan ulamak Kaum Tua yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Sheikh Abdullah Fahim yang juga Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai. Untuk meredakan polemik ini, PAS mengadakan muzakarah pada 4 Januari 1953 tetapi tidak dihadiri oleh ulamak Kaum Muda. Sebaliknya, Sheikh Tahir Jalaluddin menerbitkan satu buku, 'Risalah-risalah Penebas Bid'ah di Kepala Batas,' sebaliknya Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menerbitkan pula 'Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Se-Malaya.' Selanjutnya, Sheikh Tahir Jalaluddin mengeluarkan buku berikutnya, 'Tazkirat Mattabi'i as-Sunnah fi Radd ala Qa'ili bi Sunnati Raka'atain Qabla al-Jumaat.'

Oleh kerana isu ini berpanjangan, Ketua PAS Bandar Pulau Pinang itu telah menganjurkan muzakarah Kedua di Pulau Pinang. Pemimpin muda PAS dari Hilir Perak, Ustaz Othman Abdullah meminta PAS supaya jangan melayan muzakarah tersebut kerana ia tidak memberi manfaat. Jawatankuasa Kerja Agung PAS walau bagaimanapun pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk hadir dengan beberapa syarat yang dikatakan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol untuk mengelakkan pecah-belah dalam masyarakat. Antara syarat yang ditetapkan oleh PAS ialah:

I. Muzakarah mesti melibatkan semua Mufti, Pengerusi Majmak Sheikhul Islam Kedah, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Perlis dan Qadhi Besar Singapura;
II. Muzakarah hendaklah diadakan di tempat yang dipersetujui bersama; dan
III. Muzakarah ini hanya melibatkan alim ulamak sahaja.

PAS yang bersetuju menghantar Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Tuan Guru Haji Zabidi Aman sebagai wakil ke muzakarah ini, kemudiannya tidak menghadiri sehingga muzakarah ini berakhir pada 3 Mei 1953 kerana kegagalan pihak penganjur memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Namun, pengasas PAS, Sheikh Fadhlullah Suhaimi dari Singapura hadir mewakili ulamak Kaum Tua.

Tiada ulasan: