13 Mei 2016

13 Mei 1984 : PAS Lancar Kutipan Derma Untuk Pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Di Taman Melewar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan senarai derma-derma yang telah berjaya dikumpulkan untuk tujuan pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar kepada seluruh Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri-negeri, PAS Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan PAS di seluruh negara. Bagi tujuan pembinaan Kompleks Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini, PAS menganggarkan akan menelan belanja sebanyak RM75,000 yang akan diperolehi melalui sumbangan ahli-ahli PAS. Namun begitu, sehingga 21 Julai 1985, pembinaan ini telah menelan belanja sebanyak RM85,000 walaupun ia dibina secara gotong-royong oleh ahli-ahli PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar ini telah bermula sejarahnya apabila tanah milik PAS Terengganu yang diperolehi sejak 1976 telah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai pusat tarbiyah PAS, sebelum beberapa lot sekiranya dibeli oleh PAS untuk memperkasakan kawasan tersebut. Mengikut rancangan asal PAS sejak 1970-an, PAS bercadang memiliki sebuah Kompleks PAS di ibu kota, tetapi rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga PAS terpaksa menyewa dan berpindah-randah sekitar Jalan Pahang sejak akhir 1970-an.

Antara bangunan yang pernah dicadangkan untuk dijadikan Kompleks PAS ialah Rumah Awang Alak Betatar milik Kerajaan Brunei di Jalan Ampang, sebelum PAS merancang membina bangunan 17 tingkat berhampiran Pasar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1977, tetapi cadangan ini juga dibatalkan kerana PAS memerlukan kawasan yang lebih luas untuk kompleks tersebut. Tanah di Kampung Changkat (Taman Melewar) yang diperolehi serentak dengan tapak bangunan PAS di Chow Kit kemudiannya menjadi pilihan PAS. Untuk tujuan tersebut, tanah yang dimiliki atas nama Ustaz Harun Jusoh bagi pihak PAS Terengganu telah diserahkan kepada PAS Pusat.

Pada 6 November 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah memulakan kutipan derma untuk satu projek pembinaan yang dianggap mustahak dan perlu disegerakan. Pembinaan markaz ini telah dimulakan sejak Jun 1984 secara gotong-royong dengan derma dan sumbangan ahli-ahli PAS serta pemantauan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS sehingga fasa pertama berjaya disiapkan pada awal 1987.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, pada peringkat awal iaitu ketika masih dalam pembinaan pada 1984, markaz ini telah menjadi tapak ceramah PAS. Apabila fasa pertama siap, ia telah dijadikan venue Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 pada 11-12 April 1987. Lima bulan kemudian, pada 5 September 1987, Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Pahang Barat telah dipindahkan ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, diikuti oleh pejabat Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat. Pejabat Agung PAS kekal di markaz ini selama 20 tahun sebelum ia berpindah ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mulai 23 Mac 2007.

Ekoran rancangan perpindahan Pejabat Agung PAS ini, sejak 2006, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) yang dipimpin oleh Dato' Ustaz Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bagi merancang mengambil alih markaz ini untuk dijadikan sebuah pusat pendidikan Tinggi Islam yang dinamakan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM). Pengubahsuaian markaz yang bermula sebaik sahaja perpindahan ini telah siap pada Jun 2010 dan memulakan pengambilan pelajar pada sesi Julai 2010. Kini Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini menempatkan dua institusi pendidikan PAS iaitu KUIZM dan Institut Latihan Kepemimpinan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Tiada ulasan: