17 Mei 2016

17 Mei 1953 : PAS Bincang Adakan Kongres Pemuda Islam Bagi Tubuhkan Dewan Pemuda PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan langkah-langkah ke arah mengadakan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya bagi menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Kongres ini direncanakan untuk diadakan pada 29 Ogos 1953, iaitu sehari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Bagan Datoh, Perak, tetapi telah diawalkan ke 25 Ogos 1953 kerana PAS mengawalkan Mesyuarat Agung Tahunannya.

Bagi tujuan mengadakan kongres ini, pada 2 Julai 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah mengadakan satu perjumpaan pemuda-pemuda Islam di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena dan membentuk Panitia Kongres yang diketuai oleh Mudir Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dengan pemuda-pemuda PAS Cawangan Hilir Perak dan Dewan Penuntut al-Ulum yang diketuai oleh Saim Yunus sebagai ahli-ahli jawatankuasanya. Pada 26 Julai 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan persiapan terakhir kongres ini dan meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS untuk dibawa ke Kongres.

Sejarah Dewan Pemuda PAS telah bermula apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim pada 23 Mac 1952 telah membawa usul kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang dinamakan sebagai Dewan Pemuda Islam bagi menggerakkan pemuda PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam mesyuarat pertamanya pada 3 April 1952 telah meluluskan cadangan ini dengan tujuan untuk menggalakkan pemuda Islam mengambil bahagian dalam kemasyarakatan, membentuk kesopanan dan akhlak Islam, menghidupkan kecintaan kepada agama dan menjadikan pemuda sebagai tulang belakang perjuangan PAS. Haji Ahmad Badawi kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda Islam.

Hasrat PAS untuk mewujudkan Dewan Pemuda PAS supaya "Persatuan Islam (PAS) akan dapat bergerak dengan luas dan lebih majunya" telah dimaklumkan kepada media massa pada 10 Disember 1952. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS telah diluluskan. Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu juga telah memasukkan Dewan Pemuda PAS sebagai jentera penggerak utama perjuangan kemerdekaan negara dalam Program Politik PAS.

Atas asas yang kukuh inilah, Jawatankuasa Tadbir PAS pada 17 Mei 1953 menyusun rancangan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang berjaya diadakan pada 25 Ogos 1953, di mana pada 13 Julai 1953, Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang telah menghantar pekeliling kepada seluruh Cawangan PAS supaya "menghantar pemuda-pemuda berjiwa Islam" untuk menjayakan kongres yang disertai oleh 300 pemuda ini. Dalam kongres ini, dua agenda telah berjaya diselesaikan iaitu meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS yang menandakan tertubuhnya Dewan Pemuda PAS secara rasmi dan melantik Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS. Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Tiada ulasan: