15 November 2016

15 November 1996 : UMNO Nyatakan Kesediaan Bentuk Kerajaan Dengan PAS Di Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa telah menyatakan kesediaan Umno Kelantan membentuk kerajaan campuran dengan PAS bagi menyelesaikan krisis politik Kelantan. Politik Kelantan telah bergolak sejak selepas Pilihan Raya Umum 1995 ekoran tindakan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menimbulkan pelbagai isu dalam pentadbiran kerajaan sehingga melibatkan hubungan yang tegang dengan Istana Kelantan. Keadaan ini telah menjejaskan kekukuhan kerajaan kerana PAS tidak menguasai dua pertiga kerusi DUN Kelantan.Dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan pada 25 April 1995, kerjasama PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) telah berjaya menguasai 36 kerusi DUN di Kelantan, sedangkan BN menguasai tujuh kerusi berbaki.

PMS46 yang mewakili 12 kerusi DUN telah bertukar menjadi pembangkang apabila PAS memutuskan hubungan dengan parti serpihan Umno itu pada 14 Julai 1996, diikuti oleh pembubaran parti itu pada 6 Oktober 1996 untuk membolehkan mereka memohon menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996. Di sebabkan krisis yang tercetus ini, kedudukan kerusi DUN Kelantan telah berubah di mana PAS menguasai 24 kerusi sebagai kerajaan, sedangkan pembangkang yang terdiri dari BN dan PMS46 mempunyai 19 kerusi. PAS pada asasnya masih mempunyai kekuatan untuk memerintah kerana masih menguasai majoriti. Namun begitu keadaan menjadi tidak stabil ekoran krisis pentadbiran berlaku apabila empat anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan dari PMS46 yang telah menjadi pembangkang enggan meletakkan jawatan dalam Exco, dan dalam masa yang sama Kerajaan PAS Kelantan terpaksa berhadapan dengan Istana Kelantan yang tidak memberi kerjasama dalam menyelesaikan krisis ini.

Antara isu yang hangat dalam hubungan dengan Istana Kelantan ini ialah isu pembangunan tebing Sungai Kelantan oleh syarikat Adorna Holding Sdn Bhd yang tercetus sejak Mei 1996 sehingga PAS pada 17 November 1996 mengarahkan Kerajaan Kelantan menolak projek yang dianggap berisiko tinggi itu. Di sebalik keadaan politik yang tidak menentukan ini, pada 15 Oktober 1996, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat kenyataan yang mengejutkan bahawa PAS bersedia menerima kerjasama dengan Umno. Ini adalah kali pertama PAS menyatakan kesediaan membentuk kerjasama politik dengan Umno sejak PAS ditendang keluar dari BN pada 13 Disember 1977. Mursyidul Am PAS itu menyebutnya sekali lagi pada 21 Oktober 1996 bahawa PAS bersedia untuk berkompromi dengan Umno dan beliau mengulangi kenyataan tentang kesediaan PAS untuk bersama Umno ini pada 28 Oktober 1996.

Keterbukaan Mursyidul Am PAS untuk membentuk kerjasama politik dengan Umno di Kelantan ini adalah untuk mengukuhkan semula Kerajaan PAS Kelantan, selain memerangkap pemimpin PMS46 yang telah memohon menyertai Umno pada 8 Oktober 1996 tetapi keahlian mereka belum diterima oleh Umno. Memberikan respon terhadap kesediaan PAS ini, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 15 November 1996 telah menyatakan kesediaan Umno untuk membentuk kerajaan campuran PAS-UMNO di Kelantan. Pada 16 November 1996, Menteri Besar Kelantan pula menyatakan kesediaan PAS untuk mempertimbangkan cadangan Pengerusi BN Kelantan itu. Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya juga bersetuju dengan cadangan tersebut jika PAS tidak meletakkan sebarang syarat.

PAS Pusat pada 17 November 1996 telah melantik Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan Cikgu Mustafa Ali untuk memulakan rundingan Umno demi kepentingan Islam. Kesediaan PAS Pusat pada 17 November 1996 untuk berunding dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran walau bagaimanapun menemui jalan buntu. PAS yang menghendaki kerjasama ini berlaku tanpa penyertaan mereka dalam BN, telah menyatakan akan mempertimbangkan syarat-syarat Umno, tetapi Umno juga perlu mematuhi syarat PAS, sedangkan bekas Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah berusaha menghalanginya. Akhirnya, pada 28 November 1996, isu kerajaan campuran ini tamat apabila Majlis Tertinggi Umno tidak bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan PAS di Kelantan dan mengarahkan bekas ahli PMS46 yang menyertai Umno meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: