12 November 2016

12 November 1983 : PAS Anjurkan Seminar Tarbiyah Dan Kepimpinan Perjelas Konsep 'Hizbullah'

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, PAS Pusat telah menganjurkan satu Seminar Tarbiyah dan Kepemimpinan PAS selama dua hari di Masjid Rusila, Terengganu untuk memperjelaskan konsep 'hizbullah' dan 'hizbussyaitan' kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS. Dua pembentang utama dalam seminar ini ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Yang Dipertua Agung PAS dengan tajuk "Parti Allah dan Parti Syaitan" dan Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad, Naib Yang Dipertua Agung PAS yang membawa tajuk "Sikap dan Pendirian PAS Terhadap Beberapa Masalah Semasa." Seminar ini adalah antara langkah awal PAS untuk mengukuhkan dalamannya setelah berjaya mengasaskan kepemimpinan ulamak dan menangani krisis perpecahan parti selepas perletakan jawatan oleh bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda.

Seminar selama dua hari yang disertai oleh pimpinan PAS pelbagai peringkat dari seluruh negara ini telah didedahkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang ciri-ciri 'hizbullah.' Antara ciri-ciri utama 'hizbullah' ialah mereka redha kepada Allah dan Allah redha kepada mereka, bersikap lemah-lembut terhadap orang mukmin, bertegas dengan orang kafir dan berjihad di jalan Allah tanpa rasa takut terhadap golongan yang mencela. Matlamat 'hizbullah' pula adalah untuk menegakkan daulah dan khalifah Islam iaitu negara yang menegakkan hakimiyah Allah dan dipimpin oleh orang yang benar-benar beriman. Naib Yang Dipertua Agung PAS itu juga telah mempertegaskan bahawa menjadi kewajipan bagi setiap ahli PAS untuk menubuhkan cawangan hizbullah di setiap daerah atau tempat supaya perjuangan menegakkan agama Allah dapat dilaksanakan. 

Menurut beliau juga, usaha melaksanakan hukum-hukum Allah dalam semua aspek kehidupan, menyatukan umat Islam dan berjihad di jalan Allah hanya dapat dibuat dengan tertegaknya khilafah Islam. Tentang kewujudan hizbullah, beliau menegaskan, di setiap negara umat Islam hanya perlu wujud satu sahaja parti Islam, namun beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan parti-parti Islam yang lain bagi menghadapi golongan nasionalis sekular "yang tidak bersedia menegakkan Islam sebagai ad-diin" dalam usaha menegakkan negara Islam. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut menjejaskan bahawa hubungan darah, keluarga dan bangsa walaupun dibenarkan oleh Islam, tetapi jika ia memisahkan antara 'bendera Allah' dengan 'bendera syaitan,' maka hubungan tersebut tidak bererti lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dalam pembentangannya telah menjelaskan sikap PAS terhadap isu-isu semasa ketika itu termasuk isu penglibatan PAS dalam demokrasi dan pilihan raya, Revolusi Iran yang berlaku pada 1979, penyelewengan dan skandal Bumiputera Malaysian Finance (BMF) dan krisis Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan Raja-raja Melayu. Beliau menegaskan bahawa PAS memilih jalan pilihan raya untuk menegakkan cita-cita Islamnya dan PAS tidak boleh menerima undang-undang yang tidak berdasarkan syariat Allah, kerana itu PAS wajib berjuang menegakkan negara Islam. Seminar yang berlangsung pada 12-13 November 1983 ini telah berjaya membentuk kefahaman ahli-ahli dan pimpinan PAS tentang isu-isu semasa politik negara, konsep perjuangan Islam melalui hizbullah dan juga perbezaan antara hizbullah dengan hizbussyaitan.

Tiada ulasan: