11 November 2016

11 November 1984 : Debat UMNO-PAS Dalam Isu Takfir Tidak Menjadi Kenyataan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, cadangan Debat Umno-PAS yang dibincangkan sejak akhir Ogos 1984 dan sepatut berlangsung pada hari ini telah tidak menjadi kenyataan kerana Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan pembatalannya. Pembatalan atas arahan Majlis Raja-raja yang diumumkan pada 8 November 1984 ini telah menggagalkan satu usaha untuk bermuzakarah secara akademik tentang isu aqidah umat Islam yang hangat diperkatakan ketika itu. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa ketika mengulas tentang pembatalan ini menyifatkan ia sebagai tindakan Umno untuk memastikan isu kafir-mengkafir ini tidak menemui penyelesaian dan Umno dapat terus menjadikannya sebagai modal politik dalam menghadapi PAS.

Isu Debat Umno-PAS ini adalah lanjutan isu kafir-mengkafir yang berlaku sejak awal 1980-an. Beberapa tindakan yang dikenakan ke atas pemimpinan PAS seperti pendakwaan di mahkamah, penahanan ISA dan tuduhan mengkafirkan Umno, termasuk manipulasi isu Amanat Haji Hadi telah mewarnai hubungan politik PAS-Umno selepas 1980. Ekoran itu, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu interview dengan Asiaweek telah mendakwa Umno enggan bertemu PAS untuk menyelesaikan masalah ini. Ekoran itu, pada 25 Ogos 1984, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan kesediaannya berdebat dengan PAS. Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri pada hari sama juga telah menyatakan kesediaan PAS untuk berdebat dengan Umno dengan bersyarat.

Syarat yang dikemukakan oleh PAS ialah perlu ada pertemuan pertama melibatkan lima pemimpin tertinggi kedua-dua parti. Setiap orang daripada mereka mestilah membaca dan menghuraikan makna Surah al-Fatihah dan ayat 1-16 Surah al-Baqarah untuk menentukan kebenaran tuduhan Umno bahawa PAS memutarbelitkan agama. Syarat PAS ini telah menyebabkan Umno berdiam diri sehingga Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan pada 15 September 1984 bahawa Umno sedia berdebat dengan PAS dalam isu tuduhan PAS mengkafirkan Umno dan hanya menunggu persetujuan PAS sahaja. Pada 17 September 1984, PAS telah mengirimkan surat kepada Umno kerana persetujuan debat ini, dan ia dijawab oleh Datuk Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno pada 15 Oktober 1984 dengan mencadangkan debat ini atas tajuk "PAS mendakwa ahli Umno kafir, dan menentangnya jika mati, adalah mati syahid."

PAS yang bersetuju dengan cadangan tajuk oleh Umno itu telah bersepakat supaya debat diadakan pada 11 November 1984. PAS telah melantik wakilnya dalam debat tersebut terdiri dari Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dan Ustaz Harun Taib, sedangkan Umno diwakili oleh Dato' Wan Mokhtar Ahmad, Ustaz Ibrahim Azmi Hassan dan Anwar Ibrahim. Ketika PAS sedang membuat persiapan rapi tentang dalil dan hujah bagi menghadapi Umno, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisyharkan bahawa Yang di-Pertua Agong dengan perkenan Majlis Raja-raja telah mengarahkan pembatalan Debat Umno-PAS atas alasan isu kafir-mengkafir ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis Raja-raja dan debat ini hanya boleh memecahkan umat Islam. PAS percaya pembatalan ini dibuat dengan kehendak Umno. Kerana pembatalan ini, Debat Umno-PAS yang dijadualkan pada 11 November 1984 ini tidak menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: