05 November 2016

05 November 1989 : Majlis Syura Ulamak PAS Putuskan Wanita Tidak Boleh Jadi Wakil Rakyat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, Majlis Syura Ulamak PAS Pusat telah mengambil satu keputusan dasar yang menetapkan bahawa wanita tidak sayugia menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat dalam sistem perundangan di negara ini. Menurut keputusan Majlis Syura Ulamak PAS itu, wanita hanya dibenarkan menduduki dewan perundangan jika mereka memenuhi syarat-syarat yang ketat seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak. Pendirian dasar PAS ini telah menghalang suara-suara yang cuba mendesak supaya wanita menjadi calon dalam pilihan raya, termasuk cadangan yang dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan (yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) kepada PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989 supaya wanita dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya.

Isu calon wanita dalam pilihan raya ini timbul ekoran cadangan sekutu PAS, Semangat 46 yang mahu meletakkan calon wanita di Kelantan. Pada 2 Oktober 1989, pemimpin wanita Semangat 46, Hajah Ilani Dato' Isahak telah mempersoalkan sikap PAS yang dikatakan "masih ditakuk lama" dalam isu calon wanita, sedangkan menurut beliau, Islam mengharuskan perkara tersebut. Ekoran itu, isu calon wanita telah ini dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan untuk dibincangkan oleh Dewan Harian PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989, tetapi mereka menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulamak PAS untuk menetapkan dasar PAS dalam perkara ini kerana isu tersebut sedang dikaji oleh badan pembuat dasar PAS itu. Isu calon wanita ini merupakan antara isu kritikal dalam pembentukan kerjasama politik antara PAS dengan Semangat 46 kerana parti tersebut bercadang meletakkan calon wanita di Kelantan. Sebelum itu, pada 30 September 1989, Majlis Syura Ulamak PAS yang meneliti isu-isu berbangkit berkait calon wanita ini, telah membentuk sebuah jawatankuasa kecil untuk mengkajinya.

Jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh Ustaz Idris Omar, Ustaz Ibrahim Abdullah dan Ustaz Azizan Abdul Razak ini telah ditugaskan untuk menyediakan sebuah kertas berkait dengan hukum wanita menjadi calon dan menjadi ahli dewan perundangan mengikut hukum syarak. Pada 29 Oktober 1989, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok ketika mengulas isu ini telah memberi pandangan bahawa Islam tidak menggalakkan wanita berbuat demikian. Persoalan ini kemudiannya diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989 dengan ketetapan bahawa wanita tidak boleh menjadi ahli dewan perundangan di negara ini, dengan kekecualian bersyarat. Antara syarat-syarat pengecualian tersebut ialah:

I. Jika dewan perundangan di Malaysia menyerupai atau hampir menyerupai majlis syura Islam;

II. Jika ia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi melaksanakan segala kebaikan dan mencegah segala kemungkaran;

III. Jika wanita itu mempunyai kelayakan yang diperlukan sebagai ahli majlis syura Islam; dan

IV. Jika tugas itu (sebagai calon dan wakil rakyat) tidak memaksa wanita itu bergaul secara bebas yang boleh menjejaskan agama, maruah dan sama'ahnya.

Bertolak dari pendirian Majlis Syura Ulamak PAS ini, semua perundingan PAS berkaitan dengan calon adalah dengan dasar tiada calon dan wakil rakyat wanita. Yang paling menarik adalah isu calon-calon wanita dari parti sekutu PAS terutama Semangat 46. Oleh kerana Semangat 46 mencadangkan Ketua Wanita Kelantannya, Hajah Ilani Dato' Isahak bertanding di Kota Bharu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan keputusan PAS Kelantan pada 5 Oktober 1990 untuk meletakkan calon PAS di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh calon wanita dari Semangat 46. Walau bagaimanapun, kerana menghormati hak sekutunya, PAS tidak berbuat demikian semasa Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, sebaliknya PAS telah melantik Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Kalthum Othman sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kaum wanita di dewan perundangan.

Tiada ulasan: