25 November 2016

25 November 1993 : DUN Kelantan Luluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedua 1993

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN Kelantan) telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 dengan sebulat suara oleh 37 daripada 39 ADUN. Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 November 1993 ini menerima sambutan positif daripada semua ADUN, termasuk dua ADUN pembangkang, Nordin Yaakob (BN - Sungai Pinang) dan Wan Najib Wan Mohamad (BN - Limbongan). Dengan sokongan sebulat suara di DUN Kelantan ini, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 menjadi undang-undang jenayah Islam yang pertama digubal di negara selepas merdeka.

Undang-undang jenayah syariah telah kembali mendapat perhatian di negara ini ekoran kemenangan PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. PAS dalam manifestonya yang bertajuk 'Membangun Bersama Islam' telah menawarkan perlaksanaan undang-undang jenayah syariah kepada rakyat Kelantan. Selepas pilihan raya ini, PAS telah membuat kajian ke atas undang-undang sedia ada di Kelantan sebelum berjaya menyiapkan draf undang-undang jenayah syariah dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992. Setelah mengambil masa selama setahun untuk membuat penerangan dan melalui proses teknikal, pada 24 November 1993, ia berjaya dikemukakan kepada DUN Kelantan.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 ini hanya mengandungi undang-undang berkait dengan jenayah syariah sahaja meliputi kesalahan hudud, qisas dan takzir. Bagi kesalahan hudud, ia menyenaraikan enam jenis kesalahan yang dikenakan hukuman mandatori iaitu kesalahan mencuri (sariqah), merompak (hirabah), persetubuhan luar nikah (zina), tuduhan zina tanpa saksi (qazaf), meminum arak (syurb) dan keluar dari agama Islam (irtidah). Adapun hukum qisas adalah melibatkan hukuman balas ke atas perbuatan membunuh dan mencederakan, termasuk bayaran diyat. Bagi hukum takzir pula, ia melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah selain daripada kategori hudud dan qisas yang jeniskan hukumannya tidak ditetapkan secara khusus oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Setelah melalui proses pembentangan dan perbahasan selama dua hari sejak 24 November 1993, rang undang-undang ini telah diluluskan sebulat suara pada 25 November 1993. Kesemua 39 ADUN kecuali Tuan Guru Dato'Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS - Semut Api) dan Tuan Guru Haji Zakaria Ismail (PAS - Meranti) yang tidak hadir kerana uzur dan bercuti, telah memberikan sokongan penuh terhadap rang undang-undang yang dikemukakan oleh Kerajaan PAS-Angkatan Kelantan untuk membolehkan undang-undang jenayah syariah dikuatkuasakan di Kelantan. Namun begitu, di sebalik sokongan padu daripada seluruh wakil rakyat Kelantan, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 tertangguh perlaksanaannya kerana dihalang oleh Kerajaan Pusat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memberi amaran untuk mengambil tindakan jika ia dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan. Menteri Besar Kelantan telah menyifatkan keadaan ini sebagai "lampu merah" yang tidak mengharuskan PAS "mematikan enjin" perjuangannya untuk menegakkan syariat sehingga "lampu hijau" menyala semula.

Tiada ulasan: