18 November 2016

18 November 1982 : Penyokong Datuk Asri Muda Ambil Tindakan 'Pecahkan' PAS Dari Dalam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, satu himpunan besar-besaran yang diadakan oleh sekumpulan penyokong bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan di kediaman bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad telah memulakan perpecahan dalam PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-28. Perhimpunan yang bertujuan memberikan solidariti kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda ini sebenarnya mahu mengangkat semula tokoh tersebut sebagai pemimpin utama PAS. Ia ditaja oleh penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda di Kelantan dengan diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Pesuruhjaya Jawatankuasa Bertindak Isu Asri.

Krisis kepemimpinan PAS yang tercetus sejak 1981 telah menyebabkan Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982, selepas beliau menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Ekoran itu, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah dilantik sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dan memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS. Pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan supaya seluruh peringkat kepemimpinan dan ahli-ahli diperjelaskan bahawa perubahan kepemimpinan ini tidak mengubah dasar, tujuan, matlamat, hukum dan kekuasaan PAS, sebaliknya ia akan diperkukuhkan. Ahli-ahli PAS diperingatkan supaya menetapkan pendirian bahawa perjuangan Islam adalah semata-mata kerana Allah, bukan kerana tokoh tertentu. Sepanjang tempoh antara 4 Disember 1982 hinggalah 23 Januari 1983, telah diatur program-program di seluruh negara untuk menerangkan isu ini.

Walau bagaimanapun, di kalangan penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda, mereka mendakwa perletakan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ini berpunca daripada sikap radikal golongan tertentu dalam PAS dan peranan ulamak dan pemuda dalam memberikan tekanan kepada pemimpin tersebut sehingga beliau meletakkan jawatan. Mereka telah menjadikan Kelantan sebagai 'tapak kebangkitan semula' Dato' Mohd Asri Haji Muda kerana enam orang Yang Dipertua PAS Kawasan iaitu Ustaz Salahuddin Abdullah (Kota Bharu), Haji Mohd Zahari Awang (Kuala Kerai), Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Pasir Mas), Cikgu Mohd Zain Abdullah (Bachok), Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang) dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh) adalah penyokong kuat bekas Yang Dipertua Agung PAS itu. Mereka telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Isu Asri yang diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad sebagai Pesuruhjaya, Mohd Amin @ Abdul Hamid Salleh (Timbalan Pesuruhjaya), Mohamad Mahmud (Setiausaha), Dato' Ishak Lotfi Omar (Bendahari) dan Ustaz Abdul Rahman Simpol (Ketua Dewan Ulamak).

Jawatankuasa Bertindak Isu Asri ini telah merancang untuk menyambut kepulangan Dato' Mohd Asri Haji Muda ke Kelantan pada 18 November 1982 sebagai menunjukkan kekuatan pengaruh bekas Menteri Besar Kelantan itu dan merancang untuk mengembalikan beliau sebagai pemimpin utama PAS. Dua himpunan diadakan pada 18 November 1982 iaitu di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan di kediaman Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad. Memberi tindak balas terhadap usaha mereka mewujudkan "parti dalam parti" ini, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah mengancam untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka. Akhirnya, pada 23 Januari 1983, 13 orang pemimpin PAS yang terlibat dengan Jawatankuasa Bertindak tersebut telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib termasuk dipecat, digantung keahlian dan diberikan amaran. Berlanjutan daripada itu, para penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda telah keluar PAS dan menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983.

Tiada ulasan: