13 November 2016

13 November 1964 : Pertemuan PAS Kelantan Dengan Wakil Rakyat Berhubung Lawatan Tun Abdul Razak

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, satu majlis pertemuan di antara Badan Perhubungan PAS Kelantan dengan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen PAS telah diadakan kerana membincangkan isu lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ke Kelantan. Pertemuan antara Mohd Asri Haji Muda, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan dengan Timbalan Presiden Umno itu telah menimbulkan isu dalaman kepada parti dan kerajaan kerana Mohd Asri Haji Muda bukan mengadakan pertemuan dengan Tun Abdul Razak Hussein tanpa pengetahuan parti, tetapi juga telah bersetuju menerima bantuan kewangan dari Kerajaan Pusat dari sumber syubhah. Bagi menyelesaikan kekusutan ini, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah mengada pertemuan dengan wakil-wakil rakyat untuk membincangkan isu tersebut.

Mohd Asri Haji Muda yang menjadi Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1964 menggantikan Ustaz Dato' Haji Ishak Lotfi Omar telah mengambil kesempatan dari lawatan Tun Abdul Razak Hussein ke Kelantan untuk menyelesaikan beberapa masalah pentadbiran dan pembangunan Kelantan. Timbalan Perdana Menteri itu dalam rangka lawatannya ke Kelantan antara 5-8 November 1964 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Tumpat Tengah pada 10 Oktober 1964. Sempena lawatan ini, Tun Abdul Razak Hussein telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Menteri Besar Kelantan pada 5 November 1964. Menteri Besar Kelantan pula mengambil kesempatan daripada pertemuan ini untuk menyampaikan hasrat Kelantan dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan.

Pertemuan ini telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Kelantan bersama pegawai-pegawai utama Kelantan, selain pegawai-pegawai Persekutuan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri. Antara isu-isu pembangunan utama yang dibincangkan dalam pertemuan ini ialah tuntutan Kelantan supaya Persekutuan meningkatkan jumlah bantuan tahunan Kerajaan Pusat kepada Kelantan, supaya Persekutuan menyiapkan pembinaan jalan-jalan raya yang terbengkalai dan memperbanyakkan pembinaan jalan-jalan raya yang baru di Kelantan dan supaya Persekutuan membiayai pembinaan dua buah rancangan parit dan tali air di Kelantan dalam tempoh Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Selain itu juga, Kelantan telah bersetuju untuk menerima bantuan kewangan bagi pembangunan masjid dan surau jika disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Negeri dan bersetuju untuk menerima skim rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) jika Persekutuan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Namun begitu, di sebalik kejayaan rundingan kedua-dua pihak ini sehingga Mohd Asri Haji Muda dikatakan oleh media sebagai berjaya "menyihir Tun Abdul Razak," Menteri Besar Kelantan itu menerima kritikan keras daripada sebahagian pimpinan PAS Kelantan. Ada pemimpin PAS Kelantan menganggap apa yang ditawarkan oleh Persekutuan itu adalah "gula yang mengandungi racun" sehingga ia dipandang negatif. Ada juga yang mempersoalkan percubaan merapakat hubungan Negeri-Pusat sebagai kerjasama politik PAS-Umno. Untuk menyelesaikan kekusutan ini, satu pertemuan antara ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan dan wakil-wakil rakyat PAS telah diadakan pada 13 November 1964 untuk membolehkan Menteri Besar Kelantan itu memberikan penjelasan dan menjawab persoalan-persoalan yang ditubuhkan, sekali gus merungkai kekusutan tersebut.

Tiada ulasan: