Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Pada hari ini dalam tahun 1984, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat tentang penglibatan PAS dalam isu kafir-mengkafir yang didakwa berlaku semula sejak awal 1980-an. Tuduhan Kerajaan Pusat ke atas PAS terdapat dalam Kertas Putih Kerajaan yang bertajuk "Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara." Kertas Putih Kerajaan yang bertarikh pada 8 November 1984 dan dibentang oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada 9 November 1984 ketika beberapa isu berkait dengan agama hangat diperkatakan.
Memasuki dekad 1980-an yang merupakan permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980M bersamaan 1400H) telah membangkitkan kesedaran Islam di seluruh dunia terutama pasca Revolusi Iran pada 1979. Tuntutan umat Islam supaya Islam kembali memerintah telah menyebabkan berlakunya pertembungan pemikiran di antara ahli-ahli PAS yang memperjuangkan negara Islam dengan ahli-ahli Umno yang mendukung nasionalisme dan sekularisme. Atas faktor asas inilah, maka tercetusnya isu kafir-mengkafir yang sebenarnya bukan tuduhan kafir atau mengkafirkan, tetapi penjelasan tentang sikap menolak Islam syumul, menganut pemisahan agama dari kehidupan (sekular), mengamalkan peraturan manusia dengan menolak hukum Allah, penganutan ideologi ciptaan manusia dan seumpamamya sebagai mempunyai kesan ke atas aqidah. Bahkan, istilah-istilah asobiyah dan mutadh'afin-mustakbirin menjadi begitu popular. Gelombang kesedaran inilah yang mempertembungkan antara Islamis dan sekularis.
Pertembungan ini mula berlaku secara terbuka apabila kes Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar dibawa ke Mahkamah Syariah Besut pada 10 Februari 1980, diikuti oleh terbitnya buku "Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS" pada September 1980, kemudian pada 1981 timbul pula isu Amanat Haji Hadi. Di pihak Umno/BN, Perdana Menteri baru, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan dasar-dasar yang berbau Islam bagi menangani kebangkitan Islam ini seperti menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Bank Islam, melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih Cekap Amanah dan Dasar Kepimpinan Melalui Teladan. Pemimpin muda PAS melihat pendekatan Islamisasi Umno sebagai kosmetik, sedang sejak Pilihan Raya Kecil DUN Kemumin dan Selising sepanjang September 1983, Umno memanipulasikan isu Amanat Haji Hadi.
Ekoran dari konflik ini, pada 14 Julai 1984, tiga orang pemimpin Dewan Pemuda PAS, Mohamad Sabu, Ustaz Buniyamin Yaakob dan Ustaz Abu Bakar Chik telah ditahan ISA, dan diikuti pula oleh isu Debat Umno-PAS sejak 25 Ogos 1984 atas isu kafir-mengkafir dan dijadualkan akan diadakan pada 11 November 1984. Ketika semua isu ini berada di kemuncak, tiba-tiba pada 9 November 1984, Kerajaan Pusat telah membentangkan Kertas Putih Kerajaan dan Majlis Raja-raja pula mengarahkan pembatalan debat tersebut. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa menyifatkan pembatalan debat ini kerana Umno tidak mahu isu kafir-mengkafir ini diselesaikan dan mahu ia terus menjadi modal politik Umno.
Kertas Putih Kerajaan itu antara lain telah mendedahkan gerakan subversif yang dilakukan oleh anasir-anasir komunis, gerakan bawah tanah yang dilakukan oleh kumpulan Jundullah dan P.A.S yang dikaitkan dengan PAS serta kegiatan pimpinan PAS yang didakwa membuat kenyataan-kenyataan yang menyifatkan negara ini bukan negara Islam serta isu kafir-mengkafir. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dalam kenyataannya pada 10 November 1984 mendakwa semua tuduhan itu hanya catatan-catatan mengenai ucapan pemimpin Pemuda PAS yang wajar dibuat dalam masyarakat yang terbuka dan demokratik, serta ucapan-ucapan itu tidak menyimpang dari ajaran Islam, di mana ia menyatakan kepentingan umum dan kesan keburukan yang dilakukan secara terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan