23 November 2016

23 November 2000 : DAP Kekal Dalam Barisan Alternatif (BA) Walaupun Berkrisis Dengan PAS Dan PKN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah mengambil pendirian untuk terus kekal bersama pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA) walaupun parti cauvenis Cina itu menghadapi krisis dengan rakan-rakan pakatannya. Terdahulu, DAP telah berkrisis dengan PAS ekoran pengumuman Kerajaan PAS Terengganu pada 4 Disember 1999 untuk melaksanakan syariat termasuk mengenakan cukai kharaj ke atas orang bukan Islam, kemudian berkrisis pula dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) kerana isu calon dalam Pilihan Raya Kecil DUN Lunas, Kedah ekoran pembunuhan ADUN Lunas, Joe Fernandez pada 5 November 2000. Ekoran itu, BA berada dalam keadaan tidak stabil setelah mencapai kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999.

BA adalah pakatan politik pembangkang yang dibentuk selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Bermula dengan penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 telah membawa kepada wujudnya BA yang dianggotai oleh PAS, PKN, PRM dan DAP. Pada 24 Oktober 1999, keempat-empat parti mengumumkan kerjasama dan mengemukakan manifesto bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1999. BA berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu, selain meningkatkan undi popular di Parlimen.

Walau bagaimanapun, ekoran pengumuman Kerajaan PAS Terengganu pada 1 Disember 1999 untuk melaksanakan syariat Islam, menguatkuasakan hudud dan mengenakan cukai kharaj kepada orang bukan Islam, ia telah menimbulkan reaksi negatif DAP, MCA, Gerakan dan juga MCCBCHS. Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh mula bersuara membantah usaha PAS melaksanakan syariat dan menegakkan negara Islam. Isu ini reda seketika apabila BN mula memberi fokus untuk menekan PAS dengan sekatan ke atas Harakah, pengharaman nama Islam dan lain-lain, termasuk Pilihan Kecil DUN Sanggang pada 1 April 2000 dan isu Kumpulan al-Ma'unah pada Julai 2000.

Ketika PAS sedang dikaitkan dengan isu-isu ekstrimisme agama, pada 5 November 2000 telah berlaku pembunuhan ADUN Lunas, Joe Fernandez yang juga dikaitkan dengan isu agama. PAS telah memberikan sokongan kuat kepada calon PKN, Saifuddin Ismail Nasution untuk menafikan majoriti dua pertiga di DUN Kedah. Sebaliknya DAP secara terbuka menyatakan bantahan terhadap pencalonan Saifuddin Nasution kerana menganggap Lunas adalah kerusi DAP. Sebelumnya, DAP telah melepaskan kerusi Parlimen Teluk Kemang kepada PKN dalam pilihan raya kecil pada 10 Jun 2000. Isu pergolakan antara PKN yang disokong oleh PAS dengan DAP telah dimanipulasikan oleh BN sepanjang kempen pilihan raya kecil di Lunas.

Pada 18 November 2000, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan untuk menyokong Saifuddin Nasution dari PKN sebagai calon BA, sehingga tersebar desas-desus kemungkinan DAP akan menarik diri daripada BA. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 23 November 2000 telah memutuskan untuk mengekalkan hubungan dengan PKN dan PAS, sekali gus kekal dalam BA. Dengan keputusan ini, isu dalaman BA telah berjaya diselesaikan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Lunas. Dalam pilihan raya yang diadakan pada 29 November 2000 ini, calon BA telah berjaya mengalahkan calon BN, S Anthonysamy sekali gus menafikan majoriti dua pertiga BN di DUN Kedah.

Tiada ulasan: