29 November 2016

29 November 1999 : PAS Catat Kejayaan Cemerlang Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, PAS telah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 dengan dapat menguasai dua buah negeri dan menjadi pembangkang utama di Dewan Rakyat. Antara faktor utama kejayaan PAS dalam pilihan raya ini adalah akibat krisis politik dalaman Umno yang berlaku pada 1998 dan kejayaan PAS memimpin pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA). Ekoran kemenangan ini, tiga pemimpin utama PAS telah memegang jawatan-jawatan penting iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu.

Perubahan politik yang berlaku setelah pergolakan antara PAS dan PMS46 sejak 1995 telah berakhir dengan PAS memutuskan hubungan dengan serpihan Umno itu pada 14 Julai 1996, kemudiannya diikuti oleh penyertaan semula mereka ke dalam Umno pada 8 Oktober 1996. Kemasukan tokoh-tokoh PMS46 ke dalam Umno telah membawa kepada memuncaknya krisis dalam Umno sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. Ekoran itu, beliau telah melancarkan gerakan Reformasi sehingga membawa beliau di dalam tahunan ISA.

Menangani krisis ini, pada 22 September 1998, PAS telah mengaturkan pertemuan parti-parti pembangkang dan NGO yang akhirnya berjaya menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor selaku Pengerusi GERAK telah diterima sebagai pemimpin pembangkang utama. Setelah para pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKN), PAS bersama DAP, PRM dan PKN telah membentuk BA untuk menyaingi BN. Gabungan empat buah parti pembangkang ini telah menjadi saingan utama BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 di mana ia telah berjaya menggerakkan kesedaran politik rakyat, khususnya orang Melayu sehingga memberikan dampak besar dalam pilihan raya. PAS yang dilihat sebagai pemimpin utama pembangkang dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh Umno ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan besar dari pengundi Melayu.

Pembubaran Parlimen pada 11 November 1999 yang diikuti oleh hari penamaan calon pada 20 November 1999 telah membolehkan PAS meletakkan 63 calon Parlimen dan 236 calon DUN di seluruh negara. Dalam pilihan raya yang diadakan pada 29 November 1999 ini, PAS telah berjaya memenangi 27 kerusi Parlimen yang membolehkan Presiden PAS dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Di peringkat DUN pula, selain berjaya mempertahankan Kelantan dengan menguasai 41 daripada 43 kerusi, PAS juga berjaya merampas Terengganu dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN. Selain itu, PAS turut memenangi kerusi DUN Perlis (tiga kerusi), Kedah (12), Pulau Pinang (satu), Perak (tiga), Pahang (enam) dan Selangor (empat). Dengan kemenangan di Kelantan dan Terengganu ini, PAS telah berjaya membentuk kerajaan dengan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang masing-masing mengetuai Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tiada ulasan: