08 November 2016

08 November 1992 : Muktamar Khas PAS Lulus Usul Wujudkan Jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Muktamar Khas PAS telah meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987 yang membolehkan satu jawatan baru diwujudkan dalam memperkemaskan organisasi PAS iaitu jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS. Sebelum ini, ketika pindaan Perlembagaan PAS dibuat pada 1983 untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS, jawatan tersebut tidak diwujudkan, sebaliknya hanya mempunyai jawatan Mursyidul Am PAS sahaja sebagai ketua majlis. Dengan kewujudan jawatan baru ini, Majlis Syura Ulamak PAS menjadi lebih perkasa kerana peranannya adalah untuk membantu tugas-tugas Mursyidul Am PAS, selain mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulamak ketika ketiadaan Mursyidul Am PAS.

Keperluan PAS kepada jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS ini timbul ekoran keuzuran Mursyidul Am PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi sejak akhir 1988, iaitu setahun selepas tertubuhnya Majlis Syura Ulamak PAS. Beliau telah melepaskan jawatan Yang Dipertua Agung PAS pada 15 Februari 1989, sedangkan sejak 8 September 1988 beliau telah berkeuzuran untuk memimpin mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS. Disebabkan oleh ketiadaan 'orang nombor dua' dalam Majlis Syura Ulamak PAS, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS sejak tarikh tersebut, sekali gus bertindak sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS secara tidak rasmi. Setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 2 April 1989, tugas ini diambil alih secara tidak rasmi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pak Yusof Rawa yang memegang jawatan Mursyidul Am PAS sehingga 18 September 1994 sebenarnya tidak dapat berfungsi dengan berkesan ekoran keuzurannya, sedangkan beliau tidak mempunyai timbalan untuk membantu beliau. Atas sebab ini, ketika cadangan meminda Perlembagaan PAS dibuat pada 6 September 1992 dan diluluskan draf pindaan tersebut oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 11 Oktober 1992, mereka telah memasukkan jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS sebagai salah satu pindaan untuk memperkasakan organisasi PAS, selain menambah bilangan ahli Majlis Syura Ulamak PAS dari 12 kepada 15 orang dan mewujudkan jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS. Antara pindaan lain yang turut dibuat ialah menukar nama jawatan Yang Dipertua PAS Pusat, Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat dan Naib Yang Dipertua PAS Pusat masing-masing menjadi Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS dan Naib Presiden PAS, selain memberi semula kuasa kepada Presiden PAS untuk melantik di dalam mesyuarat bagi jawatan Setiausaha Agung, Bendahari PAS Pusat dan satu pertiga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bilangan perwakilan untuk PAS Kawasan yang mempunyai lebih 2,000 ahli.

Draf pindaan Perlembagaan PAS ini kemudiannya diluluskan oleh Muktamar Khas PAS pada 8 November 1992, sebelum ia berkuat kuasa pada pertengahan 1993. Selepas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1993 diluluskan, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik secara rasmi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS yang pertama untuk membantu Mursyidul Am PAS, sebelum beliau menggantikan Pak Yusof Rawa pada 18 September 1994. Sejak itu, jawatan Timbalan Mursyidul Am beralih pula kepada bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Idris Omar (1994-2006); bekas Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Prof Datuk Dr Haji Haron Din (2005-2015); dan Menteri Besar Kelantan yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob (2015-sekarang).

Tiada ulasan: