30 November 2016

30 November 1999 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dilantik Sebagai Menteri Besar Terengganu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Menteri Besar Terengganu yang keenam sejak 1959 ini adalah ADUN Rhu Rendang semenjak 1986, setelah menjadi ADUN Marang (1982-1986) dan juga Ahli Parlimen Marang (1990-1999). Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu kemudiannya dinamakan sebagai Menteri Besar Terengganu ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh pada 29 November 1999.

PAS berjaya mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang mengetuai Kerajaan Terengganu sejak 1974 ekoran krisis politik yang tercetus pada September 1998. PAS yang pada awalnya mengetuai Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) telah menerajui pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh empat buah parti iaitu PAS, PKN, PRM dan DAP. Dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, PAS mencatat kejayaan besar dengan memenangi 27 kerusi Parlimen, selain menguasai Kerajaan Kelantan dan Terengganu. Kejayaan PAS menguasai 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu telah membolehkan PAS melantik ADUN Rhu Rendang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dilahirkan di Kampung Rusila, Marang pada 20 Oktober 1947 adalah anak kepada seorang ulamak terkenal dan bekas aktivis Hizbul Muslimin, Tuan Guru Haji Awang Mohamad Abdul Rahman. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin (SMUZA) sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Islam Madinah dan mendapat ijazah sarjana di Universiti al-Azhar, Mesir pada 1976. Aktivis Ikhwanul Muslimin di Madinah dan Mesir ini pernah menjadi Pengerusi ABIM Terengganu, selain turut menjadi pemimpin PAS, parti yang disertainya sejak 1964. Sejak pulang dari Mesir, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Yayasan Islam Terengganu (1977-1978) dan guru Institut Gerakan (1978-1982), selain menjadi Imam Masjid Rusila sejak 1976.

Dalam kepemimpinan PAS, beliau yang pernah menjadi Setiausaha PAS Ranting Rusila (1964-1968), telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (1976-1979), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1976-1979), Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu (1979-1983), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat (1977-1983), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1977-1983), Naib Yang Dipertua Agung PAS (1983-1989) dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sejak 1989, sebelum jawatan itu mula dikenali sebagai Timbalan Presiden PAS mulai 1993. Beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1982-1989 dan dilantik kali kedua sejak 1997.

Ekoran kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-10, pada 30 November 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang keenam. Bagi membentuk kerajaan yang baru, pada 2 Disember 1999, satu majlis angkat sumpah anggota kerajaan telah diadakan dengan 10 orang ADUN dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Terengganu. Mereka yang turut dilantik ialah Haji Mustafa Ali, Tun Mohd Salleh Abas, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Haji Mohd Abdul Wahir Endut, Haji Wan Abdul Muttalib Embong, Haji Yahya Ali, Ustaz Harun Taib, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Ustaz Awang Datang Jusoh.

Tiada ulasan: