20 November 2011

Aku Terima Nikahnya

Segala Puji bagi Allah Ta’ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi Muhammad S.A.W, saya telah bergelar seorang suami kepada insan yang saya cintainya kerana Allah. Moga Allah sentiasa meredhai saya dan isteri yang tercinta, Nur Hazirah binti Tarmizi, moga Allah jugalah yang memberkati kami dan meletakkan kebaikan ke atas kami sehingga hujung nyawa, Insha Allah.

Malam Pra-Nikah

Terminologi ‘Mak’ mula menggantikan perkataan ‘Makcik’ yang biasanya saya tulis di dalam Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Emak mertua saya ini peramah orangnya. Saya bersyukur dipertemukan ibubapa mertua yang sangat baik hati dan penyayang.

“Ya, mak?”, saya memulakan perbualan telefon dengan nada malu-malu. Ibu tersenyum, kebetulan mendengar perbualan kami tatkala membantu saya menyiapkan hantaran perkahwinan untuk keesokannya.

“Fariq, ayah dan ibu esok datang sebelum pukul 10 ya..” sapa emak dengan nada ceria, menelefon bakal menantunya yang akan beliau jumpa pada hari ini. Saya mengesahkan dengan sapaan lembut, berlapik senyuman seindah wajah ibu saya yang melahirkan. Debaran makin terasa di hati sejak malam semalam, menandakan hari yang ditunggu bakal tiba. Hinggakan pada malam itu, saya tidak pasti, adakah mampu saya melelapkan mata dengan bunga indah yang terlalu mekar. Pesan murabbi saya, cantaslah kelalaian itu dengan berzikir pada Allah. Mudah-mudahan, semuanya baik-baik belaka. Lantas, saya beristighfar agar kelalaian naluri manusia diampuni Allah Yang Maha Pemaaf.

20 November 2011 : Hari Pernikahan

Seusai solat Subuh, saya bergegas menyemak perkara yang hendak dibawa. Alhamdulillah, ketelitian ibu dan ayah menyebabkan kesemuanya telah disusun atur dengan baik. Pada pagi itu, ketibaan berberapa ahli keluarga saya dari jauh datang ke Setiawangsa. Kerana debaran yang tidak henti sejak semalam, hampir keseluruhan tetamu rombongan dipandang sebelah mata tanpa sapaan akrab, hingga sesetengahnya tidak sempat untuk saya bertanya khabar. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, kami pun memulakan perjalanan dengan Basmalah.

Sepanjang perjalanan kami ke Putrajaya, berberapa penunjuk jalan tertera nama FARIQUE & HAZIRAH telah ‘menakluki’ bahu-bahu jalan dan simpang lebuhraya. Susun aturnya agak strategik, perjalanan kami menjadi lebih mudah, apatah lagi apabila lokasi Presint 16 itu sendiri terletak berhampiran Alamanda Putrajaya, satu-satunya kompleks membeli belah yang terdapat di bandar elit ini. Lebih kurang 20 minit memasuki bandar ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, kami pun sampai ke destinasi.

“Kita tak cukup ahli rombongan perempuan,” kata ibu saya, memandangkan adat Melayu yang mengkehendaki kaum wanita untuk mengangkat dulang-dulang hantaran. Ibu tidak membenarkan adik lelaki saya, Asyraf mengangkat hantaran yang terletak di dalam kereta. Asyraf meletakkan kembali di tempat duduk kereta, memandangkan tiada calon yang sesuai untuk mengangkat dulang itu. Saya agak resah. Jam telah menunjukkan pukul 9:55 pagi, waktu yang dijanji adalah pukul 10 pagi. “Apa kata jika kali ini kita langgar kebiasaan?” Saya mencadang. Bukan mahu melanggar adab Melayu, tetapi bertujuan untuk memelihara hak bakal isteri dan ibu bapa mertua, iaitu menepati masa.

Belum sempat ibu dan ayah menyatakan sokongan secara ‘mahu tidak mahu’ terhadap cadangan saya itu, sahabat-sahabat muslimat dari UiTM Melaka hadir melalui pintu rombongan lelaki. Kebetulan, pakaian mereka hampir kepada warna tema rombongan kami, warna ungu dan biru. Lantas, bantuan terus dipohon dan dipersetujui. Shuhada dan Khadijah, dua sahabat muslimat yang kiranya telah saya anggap sebagai ‘penyelamat’ masa, telah membantu ibu saya mengangkat dua dulang hantaran kami.

Alhamdulillah, rombongan kami telah lengkap dan bersedia menuju ke Surau Ar-Raudhah, satu-satunya surau yang terletak di antara blok-blok Apartment Presint 16 dan bakal menyaksikan acara yang gilang-gemilang, Insha Allah.

Aku Terima Nikahnya!

Ustaz Hafiz Idris diberi kepercayaan untuk mendaftarkan pernikahan kami. Beliau hadir dengan berberapa borang yang perlu diisi bagi melengkapkan tugas beliau sebagai seorang Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI), Putrajaya. Selesai beliau berkhutbah, kami diminta ‘berlatih’ dengan menggunakan teks yang telah disediakan. Gugup juga saya dibuatnya, termasuk wali bakal isteri, yang akan menjadi bapa mertua saya dalam berberapa minit lagi. Apatah lagi, jawapan Qabul yang ‘diterimapakai’ di kariah Wilayah Persekutuan memerlukan jawapan yang panjang, tidak sekadar lafaz penerimaan nikah semata-mata.

Setelah semuanya bersedia dan memastikan lidah tak kelu melafazkan kabul, dengan disaksikan oleh Encik Fadlillah Don dan Encik Ab Ghaffar, bakal abah mertua melafazkan Ijab. Abah memegang tanganku dengan gengaman amanah.

“Muhammad Farique bin Zubir Albakri….” Abah memanggil saya, sebagai satu isyarat atas penyerahan amanah. Saya menyahut dengan suara, tanda menyambut panggilan abah. “Aku nikahkan dikau dengan anak ku, Nur Hazirah Tarmizi dengan maskahwin sebanyak RM80 ringgit tunai”. Tanganku digoncang abah menyebabkan saya sedikit gementar. Saya cuba bertenang dan memlafazkan qabul dengan cermat kerana tempoh masa juga mampu membatalkan ijab jika mengikut prosedur Jabatan Agama Islam di Malaysia.

“Aku terima untuk menikahi Nur Hazirah binti Tarmizi dengan maskahwin sebanyak RM80 ringgit tunai…”. Saksi-saksi mengangguk, tanda ijab qabul yang dimeterai adalah merujuk kepada satu ikatan yang sah. Ustaz Hafiz lantas membaca doa kesyukuran tanda keberkatan ikatan nikah yang termeterai dan mendoakan kami sentiasa diberkati Allah, insha Allah.

Setelah doa selesai di’amin’kan, saya meminta izin untuk mengerjakan solat sunat. Seusai solat, saya diminta membacakan lafaz talak ta’liq, salah satu prosedur Jabatan Agama di Malaysia bagi memudahkan ‘pemisahan’ suami isteri apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada saya. Ustaz Hafiz menyerahkan sekeping nota lafaz yang difotokopi untuk tujuan pembacaan secara ‘jahar’ (kuat) dan perlu didengari tetamu yang hadir. Tulisannya kabur, memberikan saya sedikit kesukaran untuk membaca.

Sewaktu lafaz tersebut dibaca, berberapa kesilapan berlaku memandangkan ‘kepekatan’ tulisannya yang agak mengecewakan. Ketika ayat ini dibaca dengan yakin, “…. Atau dia meninggalkan saya selama empat ‘tahun’ qamariah berturut-turut atau lebih…”. Ustaz Hafiz menyampuk, “Bukan ‘tahun’ lah, tapi ‘bulan’, lama sangat tu..”, semua para hadirin ketawa. Saya diam sebentar. Malu. Ini adalah kali pertama tersasul. Nur Hazirah tersipu-sipu mengenangkan suaminya yang agak ‘tidak sabar’. Entah apa yang dikejar saya pun, saya sendiri buat-buat tidak tahu.

Moga Allah sentiasa merahmati kami hingga ke Syurga Nya, insha Allah!

Tiada ulasan: