13 September 2011

Aku Pemuda PAS

Sebagai seseorang yang pernah berbai’ah sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) (didaftarkan di Kawasan Bukit Katil, Melaka) sejak dari zaman mahasiswa, rasa bertanggungjawab melapor diri kepada mana-mana pejabat PAS Kawasan di seluruh Malaysia hadir secara sendiri ke dalam jiwa kami yang pernah ditarbiyyah. Biarpun sebilangan daripada kami tidak pernah diikat dengan borang penyertaan (sebagai ahli kepada Parti Islam tersebut), ‘intima aqadi’ telah meletakkan asas pelaporan gerak kerja ke Parti Islam tersebut sebagai ‘langkah pertama’ dalam konteks jihad moden seorang graduan haraki.

Saya menetap di bawah Parlimen Setiawangsa (P118), antara kubu kuat Parti Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Barisan Nasional sehingga hari ini yang belum pernah dirobek oleh mana-mana parti yang pernah dicalonkan, sama ada dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS sejak persepadanan semula dibuat pada tahun 2002 (jika saya tidak silap). Barangkali penduduk Setiawangsa kebanyakannya kaya-raya, selagi duit masuk ke dalam poket masing-masing, apalah yang hendak dikisahkan tentang iklim politik di dalam Parlimen sendiri.

Mencari Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa

Mencari Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, kemudahan media sosial maya seperti Facebook masih belum digunakan secara meluas pada hari ini. Apa yang saya boleh lakukan sebagai langkah pertama adalah dengan mencari pejabat atau markas PAS Kawasan. Berdasarkan direktori PAS Kawasan sebagaimana yang tertera di laman sesawang rasmi, Pejabat PAS Kawasan Setiawangsa terletak di Tingkat 3, sebuah rumah kedai di Taman Sri Rampai, berhampiran Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah. Misi dijalankan dengan memilih malam minggu sebagai waktu lawatan.

Malangnya, tiada sesiapa di markas pada hari berkenaan. Dalam 2 hingga 3 kali juga, saya melakukan lawatan secara berkala pada minggu-minggu yang bebeza. Namun saya masih tidak menemui sesiapa. Namun, putus asa bukanlah jalan yang saya pilih di saat bujang ini. Tarbiyah pula tidak pernah mengajar saya untuk putus asa. Benarlah kata mas'ul kami suatu ketika dahulu,
"Di luar (setelah bergelar graduan), tidak ada siapa yang peduli (sama ada kita ahli PAS atau tidak), tidak seperti di dalam (ramai yang mengajak kita ke usrah dan program-program tarbiyah). Padahal, yang di luar itulah menjamin apa yang telah kita capai di dalam."
Akhirnya, pada suatu malam minggu, lebih kurang dalam pukul 10:26 malam, saya bertemu dengan seorang murabit berkopiah di Tingkat 3, hadapan pintu markas. Sekadar anggapan, beliau mungkin seorang ahli memandangkan ahli PAS kebiasaannya di’cermin’kan melalui kopiah putih yang dipakai. Kebetulan pula, beliau rupanya merupakan penyelia bagi markas tersebut. Jelas keletihan di raut wajahnya memanjat tangga pejabat markas yang agak tinggi. Beliau betul-betul baru pulang dari kerja sewaktu sapaan dibuat.

“Assalamua’laikum, abang. Maaf bertanya. Saya mencari Usrah PAS Kawasan, boleh saya tahu bila selalunya dibuat?”, saya mengajukan soalan.

“Wa’alaikumussalam. Oooh.. Setakat ni, Usrah dibuat tak menentu, syeikh… enta bagi nombor telefon enta pada ana. Nanti ana bagi nombor (telefon) enta pada Ustaz Fadhil. Dia ‘in-charge’ (Dewan) Pemuda untuk Setiawangsa ni.”, jawab beliau dengan senyuman.

Alhamdulillah, sahabat yang saya baru kenal hanya sebentar ini begitu mesra menerima kehadiran saya sepenuh hati, biarpun kepenatan pulang dari mencari rezeki. Beliau menjemput saya masuk untuk berborak panjang di dalam markas. Saya menolak memandangkan beliau kelihatan perlu berehat (kerana baru pulang dari kerja) dan saya juga sudah lewat untuk pulang ke rumah.

Sebelum beredar, saya dimaklumkan bahawa PAS Kawasan Setiawangsa masih belum mampu mewujudkan sayap Pemudanya kerana ketidakcukupan dan peralihan tenaga kerja dari kalangan anak muda dari Kawasan Wangsa Maju selepas persepadanan semula Parlimen dibuat pada tahun berkenaan. Yang ada (setakat ini) adalah cadangan agar ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Penaja bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa (yang diselia oleh Ustaz Fadhil tersebut).

Beliau juga mengharapkan orang-orang tempatan seperti saya untuk menyertai Jawatankuasa Penaja tersebut, memandangkan kebanyakannya datang dari PAS Kawasan Wangsa Maju, tetapi duduk hampir dengan persepadanan parlimen antara dua kawasan yang berhampiran ini. Saya juga dimaklumkan, Ustaz Fadhil juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju dan sekadar diamanahkan oleh Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan Dewan Pemuda PAS Kawasan di setiap Parlimen di bawah Wilayah Persekutuan ini.

Bagi saya, tiada apa yang perlu saya dambakan melainkan dapat menyatakan komitmen kepada Jama'ah Islam ini secara menyeluruh. Di akhir pertemuan kami, saya mengharapkan sekali lagi kepada beliau agar dapat membawa saya bersama dengan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa.

Alhamdulillah, pertemuan saya dengan sahabat tersebut pada malam itu membuahkan hasil, saya dijemput berberapa kali menyertai usrah dan mesyuarat-mesyuarat umum PAS Kawasan. Antara satu-satunya program besar yang pernah saya sertai di bawah organisasi tajaan Pemuda PAS Setiawangsa adalah menjadi sebahagian daripada kontijen Wilayah Persekutuan di dalam Himpunan 30,000 Pemuda PAS Malaysia di Alor Setar, Kedah pada 19 Februari 2011.

Tidak lama kemudian, komitmen saya sedikit terganggu kerana perlu menyelesaikan urusan majlis perkahwinan dan berberapa urusan kehidupan selepasnya. Sedikit rasa sedih dan terkilan kerana tidak ditakdirkan menetap di Setiawangsa lantaran asas ukhuwah yang baru sahaja terbina bersama sahabat Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa, tetapi saya terpaksa menerima tawaran untuk menyewa sebuah flat kos rendah di Pandan Jaya.

Mencari Dewan Pemuda PAS Kawasan Pandan

Pandan Jaya merupakan sebuah lokasi (juga hasil dari persepadanan semula) yang terletak di dalam Parlimen Pandan (P100) dan DUN Cempaka (N21). Kawasan ini kebanyakannya terdiri daripada komposisi kaum yang hampir seimbang dan berpendapatan sederhana (tidak seperti Parlimen Setiawangsa), sekaligus menjadikannya antara kawasan yang mudah dirobek oleh Pakatan Rakyat sekiranya suatu isu salahlaku kerajaan diketengahkan. Buat masa ini, ahli Parlimen disandang oleh wakil rakyat Barisan Nasional, tetapi kedua-dua DUN di bawah Parlimen Pandan telah dimiliki oleh Pakatan Rakyat (PAS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi DUN Teratai).

Ketika media sosial Facebook digunakan secara meluas, mencari PAS Kawasan (apatah lagi Dewan Pemuda PAS sesuatu Kawasan) dilihat lebih mudah berbanding pencarian saya terhadap Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa. Ini mungkin kerana mandat yang diberi ke atas Pakatan Rakyat sebagai pemegang tampuk pemerintahan negeri Selangor. Banyak aktiviti-aktiviti Parti juga diwar-warkan secara meluas, berbeza dengan kedudukan PAS di Setiawangsa yang agak terpencil dari segi aktiviti yang dijalankan.

Seperti biasa, perkara pertama yang perlu saya kenalpasti adalah lokasi terletaknya pejabat PAS Kawasan. Ini adalah bertujuan bagi mengukur komitmen yang mampu saya berikan kepada PAS Kawasan setelah proses lapor diri dibuat. Bagi pendapat saya, Pejabat PAS Kawasan Pandan (atau Pusat Tarbiah PAS Pandan) ini terletak di lokasi yang sangat strategik dari segi lokaliti politik. Kedudukannya yang berada di taman perumahan Pandan Indah menjadikan ia sebagai sebuah kawasan yang cukup sesuai untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan dakwah Islam.

Subhanallah, mungkin inilah nikmat yang Allah pinjamkan kepada hamba-hambaNya yang bekerja untuk Islam setelah berjaya memenangi pilihanraya dan mendapat mandat dari rakyat. Saya yakin dan percaya, dengan fasiliti sebegini (yang sangat berbeza dengan PAS Setiawangsa), tanggungjawab dan cabaran juga berbeza, lebih besar dari apa yang saya sangkakan sebelum ini!

Untuk kali ini, saya tidak mengambil pendekatan untuk menunggu di hadapan markas sebagaimana pencarian saya di Setiawangsa, tetapi lebih kepada meneliti akaun Facebook atau laman sesawang yang menggunakan nama Dewan Pemuda PAS Kawasan Pandan. Ketika proses penelitian dibuat, saya sempat meneliti beberapa akaun Facebook sahabat yang berintima' di Kawasan tersebut. Menariknya, mereka mengaplikasi nisbah (sandaran keturunan/asal-usul pada nama atau tempat) Pandan (sebagai Al-Fandani) pada sebahagian nama mereka.

Atas rasa thiqah terhadap aplikasi 'nisbah' berberapa sahabat Pemuda PAS Pandan yang telah diteliti latar belakangnya (apatah lagi, aplikasi 'nisbah' ini biasanya diletakkan kepada nama para Ulama'), saya telah cuba berkenalan dengan salah seorang darinya, namanya Asyraf (Facebook: Asyraf Al-Fandani). Kami cuba berhubung melalui Facebook Messenger.
"Assalam, akhi. Ana Farique, bakal menetap di Pandan. Ana mencari Usrah Pemuda PAS di sana. Boleh enta bantu?"
Wa'alaikumussalam, syeikh. Enta datang ke Pusat Tarbiyyah Pandan, hari Isnin. Insha Allah, kami akan ada usrah di sana."
Sudah pasti, rata-rata akhlak seorang Pemuda PAS lebih kurang sama dengan sahabat-sahabat Pemuda PAS yang lain. Mesra, mudah bergaul, dan lembut tutur bicara. Agak lama juga kami berborak melalui medium itu. Kami mengakhiri perbualan kami dengan jemputan Walimah Urus saya dan Hazirah pada bulan November ini. "Insha Allah', balas beliau.

Sekali sekala, saya terkagum dengan akhlak anak muda (tidak termasuk saya) yang datang dari jiwa yang ditarbiyah, mungkin inilah indahnya akhlak para Sahabat Nabi r.a,, yang ditarbiyah Nabi SAW sendiri, apatah lagi akhlak Baginda yang agung.

Alhamdulillah, sebagaimana yang diberitahu oleh Asyraf, saya dapat berjumpa dengan sahabat-sahabat Pemuda PAS Pandan pada hari Isnin semalam. Moga Allah memelihara ukhuwwah kami yang baru terbina dengan satu ikatan yang kukuh.

KESIMPULAN

Mencari Jama'ah Islam di dunia realiti tidak sama seperti mencari Persatuan Mahasiswa Islam di kampus. Ia memerlukan masa, penelitian dan komitmen yang tinggi terhadap pencarian yang dibuat. Bagi mereka yang merasakan dirinya tidak diperlukan oleh Jama'ah Islam PAS setelah bergraduan (kerana mereka tidak dicari semula), ternyata mereka berada di dalam kerugian yang nyata.

Moga kita semua istiqamah sehingga kemenangan, insha Allah!

Tiada ulasan: