Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Kejayaan Sultan Mohamad al-Fateh membuka kota Constantinople pada 1453M telah membangkitkan tindak balas besar dari gereja Kristian di Vatican. Antara langkahan besar yang diambil ialah menyatukan dua kerajaan Katholik di Sepanyol – Castilian dan Aragon – yang membolehkan mereka meruntuhkan Granada pada 1492. Selepas Christopher Columbus berjaya tiba di Amerika pada 12 Oktober 1492M, Paus Alexander VI telah mengaturkan Perjanjian Tordesilas pada 7 Jun 1494M yang memberi wewenang kepada Portugis menjajah bahagian timur dunia, sedangkan Sepanyol bergerak ke barat, bagi menjayakan agenda Kristian – 3G (gospel, glory and gold). Pada hakikatnya, gerakan ini adalah bertujuan untuk menghancurkan dunia Islam pimpinan oleh Daulah Othmaniyah yang telah berjaya meruntuhkan kuasa politik Kristian Ortodoks di timur Eropah.
Ekoran perjanjian yang atur oleh gereja Vatican ini, mereka memanfaatkan sekolah pelayaran di Lisbon dengan diketuai oleh Putera Hendry The Navigator. Pada 1488, pelayar Portugis, Vasco da Gama telah tiba di Tanjung Harapan, kemudian menguasai Goa, India pada 1497. Dalam tempoh ini juga, mereka telah menduduki Hurmuz dan pantai Hijaz dengan bantuan kerajaan Syiah Ismailiyah, Dinasti Shafawi. Atas sebab menyekat pengaruh Portugis ke atas tanah suci ini, Daulah Othmaniyah telah meruntuhkan Daulah Mamalik dan mengambil alih kekhalifahan daripada Daulah Abbasiyah pada 1517M. Pada 1511M, Portugis telah berjaya menguasai Melaka.
Penjajahan Portugis di Nusantara: Langkah Awal Kristianisasi
Kekalahan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 29 Ogos 1511M telah menbolehkan “Benggali Putih” ini menguasai pusat perdagangan terbesar di Asia ini. Tetapi yang lebih penting bagi Portugis ialah mereka dapat melemahkan kekuatan ekonomi umat Islam dan Daulah Othmaniyah, sekali gus menyebarkan agama Kristian. Masjid Besar Melaka telah diruntuhkan dan didirikan Gereja St Paul di atas tapaknya (Bukit St Paul sekarang), di samping membina Kolej Khatolik St Xavier di situ. Melaka yang dahulunya adalah pusat pengembangan Islam, kini menjadi pusat Kristian Khatolik.
Dalam masa yang sama, Portugis terus bergerak menguasai Amagau (sekarang Macau) di muara Sungai Sikiang, yang juga dijadikan pusat Khatolik seperti Melaka. Untuk menguasai ekonomi, Portugis mula bergerak ke wilayah-wilayah rempah di Nusantara, bagi melemahkan ekonomi Daulah Othmaniyah. Kejayaan pelayar Sepanyol, Ferdinand Magellan tiba di Kepulauan Visaya yang dikuasai Kesultanan Sulu pada 1521M, telah menggugat Portugis sehingga mereka mulai membina benteng di Sunda Kelapa, mengadakan kerjasama perdagangan dengan Kesultanan Ternate dan Kesultanan Maluku pada 1522M.
Kesultanan Demak Halau Portugis dan Kuasai Sunda Kelapa
Penjajahan Portugis di Melaka sebenarnya mendapat perhatian besar daripada beberapa kerajaan Islam seperti Kesultanan Aceh, Kesultanan Demak dan Kesultanan Johor-Riau. Pada ketika ini, Kesultanan Demak dengan dibantu oleh Sultan Ceribon dan Sultan Banten, telah menghantar 375 buah armada laut yang diketuai oleh Adapati Yunus pada 1521M untuk membebaskan Melaka. Gerakan yang disusun oleh Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) dan Sunan Fatahillah (Fatalehan) ini walau bagaimanapun gagal membebaskan Melaka, sebagai mana gagalnya ekspedisi pertama pada 1517M.
Selepas gagal membebaskan Melaka pada 1521M, Portugis bertindak menduduki pantai Kelapa, iaitu pelabuhan utama wilayah Sunda Padjajaran (dipanggil Sunda Kelapa) pada 1522M sehingga ia menjadi ancaman baru kepada Kesultanan Demak. Ia bermula dengan kedatangan Tome Pires, orientalis Portugis di Jawa pada 1514M yang melaporkan kedudukan strategik Sunda Kelapa sebagai pelabuhan yang sibuk. Saki-saki kerajaan Hindu Sunda yang terancam oleh Kesultanan Demak menjemput Portugis ke sana, dan Gabenor Melaka, Alfonso de Albuquerque telah menghantar Hendrique Leme untuk membuka pejabat dan benteng Portugis di situ pada 21 Ogos 1522M.
Bimbang dengan perkembangan ini, Kesultanan Demak telah bertindak balas. Para ulamak di kalangan Wali Songo seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah yang berpengaruh dalam Kraton Demak, telah menyusun langkah untuk membebaskan Sunda Kepala daripada pengaruh Portugis. Pada 22 Ramadhan 933H bersamaan 22 Jun 1527M, Sunan Fatahillah dengan kerjasama Sultan Ceribon telah menyerang benteng Portugis di Sunda Kelapa dan berjaya menghalau penjajah Katholik itu dari pulau Jawa. Dengan kejayaan ini, Sunda Kelapa mula dikenali sebagai Jaya Karta (kota kejayaan). Pada zaman Belanda, Jaya Karta disebut sebagai Niew Hoorn, sebelum dikenali sebagai Betawi (atau Batavia) mulai 1619M. Kota ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Jaya Karta (Jakarta) pada 1942M. Tarikh 22 Jun, iaitu hari kejayaan Sunan Fatahillah menghalau Portugis dirayakan sebagai tarikh penubuhan Jakarta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan