10 Mei 2018

10 Ramadhan 1393 Hijrah : Penghancuran Benteng Bar Lev - Kekalahan Israel Dalam Perang Yom Kippur

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Penjajahan orang Yahudi ke Palestin untuk membentuk negara haram Israel adalah kesan daripada kejatuhan Daulah Othmaniyah. Pembentukan negara haram itu pada 1948 merupakan akibat langsung daripada Perjanjian Sykes-Picot (1916M) dan Perjanjian Lausanne (1919). Setelah pembentukan negara haram Israel, tercetus Perang Arab-Israel pada Jun 1948 melibat Syria, Jordan, Mesir, Lubnan, Iraq, Arab Saudi dan Yaman, tetapi dimenangi oleh Israel. Kekalahan ini menyebabkan separuh wilayah Arab Palestin termasuk Baitul Maqdis Barat jatuh ke tangan Israel, sedangkan Mesir diberikan Tebing Gaza, Jordan mendapat Tebing Barat.

Pada Jun 1967, tercetus lagi Perang Arab-Israel yang dikenali sebagai Perang Enam Hari, di mana Gaza dan Sinai yang dikuasai Mesir, Tebing Barat yang dikuasai Jordan dan Bukit Golan yang dikuasai oleh Syria telah jatuh ke tangan Israel. Pada 1970, Presiden Anwar Sadat yang menggantikan Presiden Gamal Abdul Naser telah berusaha membina imejnya dengan mensasarkan supaya semua wilayah Mesir (Sinai dan Gaza) yang dirampas pada 1967, diambil semula. Mesir mengatur pakatan untuk menggempur Israel pada hari perayaan Yahudi, Yom Kippur yang jatuh pada 6 Oktober 1973.

Benteng Israel di Sinai

Kejayaan Israel menguasai Sinai pada 1967 telah menyebabkan Terusan Suez turut jatuh ke tangan negara haram itu. Bagi mempertahan wilayah Sinai daripada serangan Mesir, Israel telah membina Benteng Bar Lev, sempena nama nama Jeneral Israel, Haim Bar Lev. Benteng ini disebut juga sebagai Garis Bar Lev yang dibina pada 1971 dengan kos USD500 juta. Tujuan utama pembinaan projek raksasa ini adalah untuk melindungi Terusan Suez, sekali gus menjadi pertahanan Israel daripada serang orang Arab, khususnya Mesir. Kejayaan mereka membina Benteng Bar Lev dan kekecohan politik Mesir akibat pembunuhan Gamal Naser pada 1970, telah melalaikan Israel.

Pada 1971, Anwar Sadat dalam rangka membina imej politiknya, menawarkan supaya Israel bertindak sebelah pihak dengan mengundurkan tentera mereka dari wilayah yang ditawan, dan Mesir akan mengadakan gencetan senjata menyeluruh ke atas negara tersebut. Keengganan Israel berbuat demikian telah menyebabkan Mesir mengumumkan pada 1972M akan berperang dengan Israel. Mesir mula memperkukuhkan tenteranya dengan bantuan Soviet Union. Pada 1973, Anwar Sadat bukan sahaja sekali lagi mengumumkan perang ke atas Israel, tetapi turut mendapatkan sokongan diplomatik daripada Eropah, Soviet Union dan Afrika. Di pihak Israel pula, kejayaan mereka dalam Perang Enam Hari telah menyebabkan mereka memgambil mudah ancaman Mesir itu.

Serangan Hari Yom Kippur: Israel Tersentak

Mesir telah berpakat dengan Syria untuk mengatur satu serangan bersama ke atas Israel yang dikenali sebagai Operasi Badar. Serangan yang dilancarkan pada hari perayaan Yahudi, Yom Kippur ini dibuat pada 6 Oktober 1973M. Syria telah menyerang Bukit Golan, sedangkan Mesir membuat serang serentak ke atas Terusan Suez dan Sinai. Serangan ini telah membawa kemusnahan teruk kepada Israel, sebelum pasukan udara Amerika Syarikat membantu Israel untuk mengundurkan tentera Arab selepas tiga minggu berperang. 2,656 orang askar Israel terbunuh, manakala 7,250 tentera yang tercedera.

Selepas serangan dilancarkan secara serentak dan mengejut ke atas Israel ini, pada 10 Ramadhan 1393 bersamaan 7 Oktober 1973, tentera Mesir telah berjaya meruntuhkan Benteng Bar Lev yang melindungi Terusan Suez daripada serangan Mesir. Dengan bantuan Libya, Algeria, Arab Saudi, Iraq, Kuwait dan Sudan, tentera Mesir telah berjaya memberikan pukulan hebat ke atas Israel dalam perang yang dikenali juga sebagai Perang Ramadhan ini.

Kesan daripada perang ini, walaupun dimenangi secara fizikal oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, tetapi ia menjadi kekalahan moral yang sangat besar kepada Israel. Suruhanjaya yang dibentuk oleh Israel berkait perang ini telah mengesyorkan pemecatan beberapa pegawai tentera yang utama, kemudian Menteri Pertahanan Israel, Moshe Dayan dipersalahkan dan Perdana Menteri, Golda Mier terpaksa meletakkan jawatan. Kerajaan haram Israel mulai tidak stabil, dan perang ini telah membawa kepada Perjanjian Damai Kem David 1979, di mana Sinai dikembalikan kepada Mesir.

Tiada ulasan: