06 Disember 2016

06 Disember 1984 : MCA Tangguhkan Dialog Dengan PAS Kerana Krisis Kepimpinan MCA

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Persatuan Cina Malaysia (MCA), sebuah parti perkauman Cina telah bertindak menangguhkan tawaran yang dikemukakan oleh PAS sejak 15 Oktober 1984 bagi mengadakan dialog PAS-MCA untuk menyelesaikan beberapa isu perkauman di negara ini. Surat yang dijawab oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock Thye kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah meletakkan syarat supaya beberapa persoalan asas yang dikemukakan oleh MCA dijawab oleh PAS sebelum sesi dialog kedua-dua parti yang berlainan ideologi ini dapat diadakan. Dialog PAS-MCA ini kemudiannya ditangguhkan kerana pihak MCA bertegas supaya PAS menjawab secara bertulis semua persoalan yang dibangkitkan oleh mereka, sedangkan PAS mahu ia dijawab secara lisan dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan sebelum dialog tersebut berlangsung.

Isu dialog PAS-MCA ini timbul ekoran Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April 1983 yang mahu PAS memecahkan tembok penghalang antara PAS dengan orang bukan Islam. Ekoran itu, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat pada 15 Oktober 1984, telah menjemput pemimpin MCA untuk mengadakan dialog dengan PAS. MCA melalui Setiausaha Agung Pemudanya pada 29 Oktober 1984 telah menyatakan keterbukaan MCA untuk menerima tawaran PAS tetapi dalam suasana yang berhati-hati. PAS yang menyambut baik keterbukaan MCA, pada 10 November 1984, telah mencadangkan pertemuan awal kedua-dua parti untuk menyusun dialog tersebut.

Namun begitu, dalam keadaan yang berhati-hati, MCA meletakkan pelbagai syarat sebelum berdialog dengan PAS. Ini kerana MCA sedang menghadapi krisis kepemimpinan ekoran perebutan kuasa antara Pemangku Presiden MCA, Datuk Dr Neo Yee Pan dan Datuk Mak Hoon Kam dengan Dr Tan Koon Swan, sehingga tugas-tugas pentadbiran MCA dijalankan oleh Setiausaha Agung Pemudanya. Dalam menjawab tawaran PAS ini, Chew Hock Thye pada 29 Oktober 1984 telah bertegas bahawa MCA perlu mendapat kepastian dari PAS tentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan berbilang kaum; jaminan dan pemeliharaan hak setiap kaum; penerusan sistem perlembagaan beraja dan demokrasi berparlimen; serta keperluan melandaskan perubahan dan pembangunan mengikut cita rasa Malaysia.

Di sebalik pelbagai persoalan yang diabangkitkan oleh MCA yang memerlukan jawaban bertulis dari PAS, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad pada 10 November 1984 menyatakan bahawa semua soalan itu lebih elok dijawab dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan di antara PAS dan MCA sebelum dialog diadakan. Ekoran keenggan PAS menjawab secara bertulis, yang bertujuan untuk membolehkan PAS membuat penerangan lanjut dan menjelaskan isu-isu berbangkit kepada MCA dalam siri-siri pertemuan yang akan disusun, MCA pada 6 Disember 1984 sebalik mempertegaskan bahawa dialog ini perlu ditangguhkan kerana MCA hanya akan mempertimbangkannya setelah mendapat jawaban bertulis dari PAS tentang lima perkara tersebut. PAS menyifatkan tindakan MCA berkeras dengan alasan ini kerana tidak mahu krisis dalaman mereka yang sangat meruncing itu ditambah dengan dialog antara mereka dengan PAS.

Tiada ulasan: