29 Disember 2016

29 Disember 1964 : Karya Hassan Al-Banna Jadi Teks Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah memutuskan supaya karya tokoh mujaddid gerakan Islam, as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna dijadikan sebagai teks tarbiyah rasmi Dewan Pemuda PAS, sekali gus merasmikan hubungan tarbiyah antara PAS dan Ikhwanul Muslimun yang berpusat di Mesir. Dua karya Ustaz Hassan al-Banna iaitu Nizam al-Usar dan Risaalah at-Taalim telah diterjemahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah dengan judul “Peraturan dan Arahan.” Buku ini pada asalnya diterbitkan oleh Pustaka Islam, Kota Bharu pada 1963, sebelum ia dicetak semula oleh Ustaz Yazid Jaafar pada 1976 sebagai rujukan tarbiyah kepada ahli-ahli PAS di seluruh negara. Sebelum 1964, gerakan pentarbiyahan ahli-ahli tidak mempunyai rujukan secara rasmi.

Hubungan PAS dan Ikhwanul Muslimun Mesir telah wujud sejak penyertaan dua pemuda, Ustaz Zulkifli Mohamad dari Perak dan Ustaz Hassan Salleh dari Kelantan dalam Hadis Thulasa’, iaitu kuliah mingguan Ustaz Hassan al-Banna di Kaherah sejak 1947, sebelum kedua-duanya menjadi pemimpin PAS setelah pulang ke Malaya. Pada 1954, Setiausaha Ikhwanul Muslimin cabang Kaherah, Sheikh Taqiyuddin Qandil yang berkhidmat di Perlis dan Kedah telah memimpin kumpulan pelajar PAS di bawah Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) termasuklah Ustaz Jaiz Anwar dan Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pada Februari 1959, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang menghadiri Persidangan Pemuda Afro-Asia di Kaherah telah mengadakan hubungan rasmi antara PAS dan Ikhwanul Muslimin, termasuklah membawa pulang sejumlah karya Ustaz Hassan al-Banna untuk dijadikan rujukan tarbiyah.

Atas inisiatif Ustaz Abu Bakar Hamzah ini, beberapa karya Ustaz Hassan al-Banna telah berjaya diterjemahkan termasuk dua karya tarbiyahnya, Nizam al-Usar dan Risaalah at-Taalim ke bahasa Melayu. Ia kemudiannya diterbitkan pada tahun 1963 oleh Pustaka Islam, sebuah percetakan milik Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Amaluddin Darus. Karya yang diberikan judul sebagai “Peraturan dan Arahan” ini telah mula dijadikan bahan rujukan tarbiyah Dewan Pemuda PAS. Pada peringkat ini, tarbiyah PAS belum berbentuk haraki, tetapi lebih bersifat membina kefahaman ahli terutama terhadap pemikiran politik Islam yang dibuat secara tidak berkala melalui kursus-kursus kesedaran. Semenjak 1964, buku ini mula mendapat tempat dalam program-program pembentukan kefahaman ahli PAS, terutama setelah Ustaz Abu Bakar Hamzah dipilih semula untuk menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat pada 22 Ogos 1964.

Tulisan Ustaz Hassan al-Banna ini membincangkan tentang perkara asas atau rukun bai’ah bagi ahli kepada sebuah jamaah Islam meliputi persoalan faham, ikhlas, bekerja, jihad, berkorban, taat setia, tidak berganjak, tegas, bersaudara mara dan percaya. Buku tersebut juga membincangkan tentang kewajipan dan larangan kepada ahli, membina persaudaraan Islam dan beberapa wasiat Imam Hassan Al-Banna. Satu bahagian yang paling penting dalam buku tersebut ialah perbincangan mengenai dasar-dasar yang menjadi asas ideologi perjuangan Islam. Kerana pentingnya rukun bai’ah dalam 20 usul yang digariskan ini, pada 29 Disember 1964, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengangkatnya sebagai teks tarbiyah rasmi Dewan Pemuda PAS, dan sehingga hari ini Risaalah at-Taalim terus menjadi rujukan tarbiyah PAS.

Tiada ulasan: