26 Disember 2016

26 Disember 1955 : YDP Agung PAS Pertegas Kedudukan Melayu Dan Islam Dalam Rundingan Kemerdekaan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah mendesak supaya Rombongan Kemerdekaan ke London bertegas dalam mempastikan kedudukan hak ketuanan orang Melayu dan kebangsaan Melayu serta kedaulatan Islam menjadi tuntutan asas kemerdekaan negara ini. Gesaan ini dibuat oleh Dr Haji Abbas Alias di dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat di Madrasah Ahmadiyah (Pondok Bunut Payung), Kota Bharu pada 26-28 Disember 1955. Ucapan Dasar yang dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang ini telah mengemukakan beberapa tuntutan yang paling tegas dalam merangka hala tuju PAS terhadap perjuangan kemerdekaan.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat ini telah dibuka dengan rasmi oleh Mufti Kelantan, Tuan Guru Haji Ahmad Maher Ismail yang turut mendoakan supaya perjuangan PAS untuk menuntut kemerdekaan dan menegakkan Islam di negara ini akan mencapai kejayaan. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini telah dihadiri oleh 69 orang ahli mesyuarat termasuk 54 perwakilan yang mewakili 32 buah Cawangan PAS. Fokus utama mesyuarat agung kali ini adalah terhadap tuntutan kemerdekaan yang akan dirundingkan oleh Ketua Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dengan pihak British di London bermula 18 Januari 1956.

Dalam ucapannya, Yang Dipertua Agung PAS itu telah mempertegaskan tentang perjuangan PAS adalah untuk melaksanakan hukum-hukum Allah dalam soal kenegaraan, dan PAS memperjuangkan kemerdekaan dengan menolak pendekatan yang diatur oleh penjajah. PAS akan memperjuangkan tuntutannya mengikut Perlembagaan, tetapi bukan mengikut telunjuk British, termasuk PAS memilih jalan pilihan raya untuk mencapai tujuannya. PAS telah mendesak British menyerahkan sepenuhnya kuasa pemerintahan kepada rakyat negara ini sebelum tarikh kemerdekaan, dan mahu kemerdekaan berlaku tidak lewat dari tahun 1959. Sambil mempertegaskan sokongan PAS kepada Rombongan Kemerdekaan ke London, Dr Haji Abbas Alias menekankan tentang hak ketuanan bangsa Melayu di negara ini, dan mahu kebangsaan Melayu dijadikan kebangsaan negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak mahu soal kedaulatan Melayu dicuaikan dalam perundingan tersebut.

Dalam ucapan yang disampaikan pada 26 Disember 1955 ini juga, Dr Haji Abbas Alias telah menjelaskan pendirian PAS yang bulat supaya kedaulatan Islam dikembalikan dan agama Islam dijadikan agama rasmi negara ini. Yang Dipertua Agung PAS itu juga menegaskan bahawa tidak timbul soal ‘tidak adil’ atau ‘berlawanan dengan demokrasi’ dalam isu kedaulatan dan ketuanan Melayu, kerana orang bukan Melayu boleh menjadi rakyat negara ini jika mereka memberikan sepenuh taat setia kepada negara. Kemudian seluruh isi utama ucapan Dr Haji Abbas Alias ini telah diangkat oleh wakil Kota Bharu, Mohd Asri Haji Muda supaya ia dijadikan sebagai tuntutan rasmi dan dikirimkan sebagai kawat kepada wakil Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan juga Ketua Menteri yang akan bertolak ke London.

Tiada ulasan: