14 Disember 2016

14 Disember 1956 : Dr. Burhanuddin Al-Helmy Sertai PAS Secara Rasmi

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, tokoh pejuang kemerdekaan tersohor, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyertai PAS secara rasmi dengan menyerahkan borang keahlian PAS kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah. Borang keahlian yang diserahkan melalui Pengerusi Tetap PAS, Ustaz Haji Hassan Adli Mohd Arshad merupakan keahlian daftar terus PAS di Pejabat Agung PAS, tanpa menyertai mana-mana ranting atau cawangan PAS. Sebelum menyertai PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy telah berkelana dalam politik antara 1937-1956 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Beliau juga terlibat memimpin gabungan PUTERA-AMCJA dan mengasaskan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Hizbul Muslimin (HM) dan Parti Rakyat Malaya (PRM).

Dr Burhanuddin al-Helmy atau nama asalnya Amir Burhanuddin bin Ungku Mohd Noor bin Kassim telah dilahirkan di Kampung Changkat Tualang, Taiping, Perak pada 29 Ogos 1911. Ayahnya seorang ulamak lepasan Mekah yang berasal dari Batu Sangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat. Setelah mendapat pendidikan awal di Perak, beliau belajar agama di Batu Sangkar. Pada 1926, beliau kembali ke Tanah Melayu dan belajar pondok di Pulau Pisang, Kedah sebelum memasuki Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang sehingga 1928. Beliau kemudiannya ke Aligarh Muslim University, India untuk mendapatkan sijil pra universiti, First Art (FA) pada 1930. Setelah itu beliau mempelajari perubatan homeopathy dengan Prof Dr Rajah di Singapura, dan akhirnya mendapat ijazah sarjana perubatan di Chistiya Medical College, India pada 1940. Beliau kemudiannya memasuki Fakulti Psikologi di Aligarh Muslim University untuk ijazah kedoktoran falsafahnya.

Setelah tamat belajar di India, pada zaman Jepun beliau dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun (Gunseikanbu) di Singapura sebelum berpindah ke Taiping pada 1944. Beliau yang terlibat menganjurkan Persidangan Majlis Agama Malai-Sumatera di Kuala Kangsar pada 1944, bertanggungjawab menggubal "Piagam Taiping" iaitu draf Perlembagaan Malaya Merdeka yang dikemukakan kepada Jepun pada pertengahan 1945. Setelah terlibat dalam perundingan kemerdekaan di Taiping bersama Ibrahim Haji Yaakob serta Sukarno dan Mohd Hatta dari Indonesia, Dr Burhanuddin al-Helmy telah memimpin KRIS untuk mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945, di mana beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu. Tetapi perisytiharan tersebut tidak dapat dibuat ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika pada 6 dan 9 Ogos 1945. Selepas Perang Dunia Kedua, Dr Burhanuddin al-Helmy mula memimpin PKMM.

Ketika menjadi Penasihat Agung PKMM, beliau telah mempengerusikan pakatan PUTER-AMCJA untuk menggubal Perlembagaan Rakyat 1948 dalam menghadapi Malayan Union sejak 1946. Beliau yang pernah menjadi Setiausaha Jam'iyatul Dakwah Singapura pada 1936 dan terlibat dalam Debat Isu Jilatan Anjing di Kelantan pada 1937, telah menggerakkan para ulamak untuk mengadakan Persidangan Agama Malaya di Gunung Semanggol pada 1947 yang membawa kepada tertubuhnya Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) dan akhirnya HM ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Pada 1950, Dr Burhanuddin al-Helmy telah memimpin Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang menyebabkan beliau merengkok di kem tahanan Pulau Belakang Mati, Singapura selama 18 bulan.

Setelah dibebaskan dari tahanan British pada 1952, Dr Burhanuddin al-Helmy telah membuka kolej homeopathy di Singapura dan tidak menyertai mana-mana parti politik. Namun beliau aktif memberikan kursus politik Islam kepada Umno. Walaupun pada 23 April 1954, beliau telah dilantik sebagai Ahli Kehormat PAS Cawangan Johor Bahru, namun beliau tetap dipujuk oleh Parti Melayu Semenanjung (PMS) untuk memimpin parti tersebut. Akhirnya, dengan usaha Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Ustaz Othman Abdullah, Haji Mohd Said dan Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Dr Burhanuddin al-Helmy telah memilih menyertai PAS pada 14 Disember 1956. Pada 25 Disember 1956 beliau dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS ketiga, jawatan yang dipegang olehnya sehingga hayatnya berakhir pada 25 Oktober 1969.

Tiada ulasan: