17 Disember 2016

17 Disember 1985 : Polis Menarik Balik Sekatan Ceramah Politik Ke Atas PAS Pasca Tragedi Memali

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penarikan balik larangan ceramah politik yang dikenakan ke atas PAS selepas tragedi Memali. PAS dikenakan sekatan ceramah politik melibatkan enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak Utara dan Pulau Pinang sebaik sahaja tercetusnya tragedi Memali pada 19 November 1985. Tujuan utama sekatan ceramah politik ini adalah untuk menghalang PAS dari memberikan penerangan kepada rakyat tentang peristiwa pembunuhan 14 orang ahli PAS termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ustaz Ibrahim Libya, bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.

Tragedi Memali tercetus ekoran satu gerakan yang dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 18 November 1985 untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya secara kekerasan. Pada subuh 19 November 1985, satu kepungan bersenjata telah dibuat ke atas Kampung Memali, diikuti oleh satu serangan yang mengakibatkan kematian 14 orang ahli PAS, selain empat kematian di pihak polis. Tragedi Memali yang berlaku dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam telah menjadi tragedi politik berdarah terbesar di negara ini selepas tragedi 13 Mei 1969. Untuk menutup isu ini dari sampai kepada rakyat, Kerajaan BN bukan sahaja menuduh Ustaz Ibrahim Libya menaja keganasan dan terlibat dengan komunis untuk memberontak terhadap kerajaan, tetapi juga mengambil langkah menghalang PAS daripada menjelaskan kepada rakyat tentang isu sebenar yang berlaku.

Oleh kerana tragedi ini merupakan lanjutan daripada penahanan ISA ke atas pemimpin Dewan Pemuda PAS pada 10 Julai 1984, serangan ke atas Kampung Memali ini juga merupakan sebahagian daripada plot penahanan tersebut kerana Kerajaan BN turut merancang menahan Ustaz Ibrahim Libya di bawah ISA. Isu sebenar penahanan mereka ialah kerana kelantangan mereka menolak Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan mendakwa program Islamisasi kerajaan hanya sebagai kosmetik politik. Kerana itulah, setelah pembunuhan beramai-ramai ini berlaku, Dewan Ulamak PAS Kedah telah mengeluarkan fatwa tentang kesyahidan mereka. Fatwa ini telah disokong oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan juga Badan Perhubungan PAS Kelantan, sedangkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menganggap mereka bukan syahid, bahkan bughah. Isu kesyahidan 14 orang ahli PAS ini menjadi persoalan besar yang memaksa kerajaan mengenakan larangan ceramah politik ke atas PAS di enam buah negeri tersebut.

Setelah sebulan sekatan ceramah politik dikenakan ke atas PAS sejak 19 November 1985 dan isu Memali mulai mereda ekoran propaganda media massa kerajaan yang mengatakan Ustaz Ibrahim Libya sebagai komunis yang mahu menentang kerajaan secara bersenjata, PDRM pada 17 Disember 1985 telah mengumumkan bahawa larangan ceramah politik ke atas PAS di enam buah negeri telah ditarik balik. Walaupun PAS boleh menjelaskan kepada rakyat tentang kedudukan sebenar isu Ustaz Ibrahim Libya, namun pemimpin BN seperti Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad terus melakukan serangan ke atas PAS dengan mendakwa tragedi Memali adalah akibat daripada isu kafir-mengkafir yang dibangkitkan oleh PAS dan berlakunya penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik. Menjawab isu ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah menuliskan buku "Syuhada' Memali: Pendakwah bukan Penderhaka," sedangkan PAS telah mengadakan Sambutan Hari Memali setiap tahun, selain membawa kes ini ke mahkamah untuk membuktikan kezaliman yang telah berlaku.

Tiada ulasan: