Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Pada hari ini dalam tahun 1992, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendedahkan persetujuan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra bahawa Baginda hanya tertakluk kepada etika al-Quran dalam menjalankan tugas-tugas Baginda. Sebelumnya, Menteri Besar Kelantan itu telah mempertegaskan bahawa raja-raja bukan sahaja tidak mempunyai kekebalan ke atas undang-undang, bahkan terikat dengan hukum Islam. Sultan Ismail Petra yang mendapat nasihat Menteri Besar Kelantan itu telah bersetuju supaya Baginda tidak terikat dengan Kod Etika Raja-raja, sebaliknya terikat sepenuhnya dengan akhlak Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Isu etika Raja-raja Melayu telah timbul ekoran tindakan seorang putera Sultan Johor dikatakan mencederakan seorang jurulatih hoki pada 30 November 1992. Isu ini telah dimanipulasikan oleh Umno pada 10 Disember 1992 untuk mendesak supaya kekebalan Raja-raja Melayu dihapuskan. Pada 12 Disember 1992, Umno telah mencadangkan supaya satu pindaan Perlembagaan Persekutuan dibawa ke Parlimen pada Januari 1993 bagi menghapuskan kekebalan raja. Mengambil kesempatan dari isu ini juga, Umno telah cuba 'memerangkap' Sultan Kelantan kerana Baginda dituduh menjadi punca kekalahan Umno di Kelantan pada 21 Oktober 1990. Sebelum ini Umno telah menuduh Sultan Kelantan melarikan kereta Lamborghini Diablo dari Depoh Kastam Subang pada 19 Mac 1992.
Di sebalik tindakan Umno berterusan memanipulasikan isu penghapusan kekebalan Raja-raja Melayu, Presiden Parti Semangat 46 (S46), Tengku Razaleigh Hamzah telah bertegas menolak penghapusan kekebalan Raja-raja Melayu. Bagi pemimpin S46 itu, penghapusan imuniti ini akan menjejaskan kedaulatan Raja-raja Melayu. PAS pula mengambil pendirian yang lain kerana menganggap tidak ada manusia yang kebal dalam Islam, tetapi rakyat perlu menghormati raja-raja. Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyokong penghapusan imuniti ini kerana ia selaras dengan Islam. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat turut berpandangan bahawa raja tidak mempunyai kekebalan dalam Islam.
Bertolak dari asas Islam ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberikan nasihat kepada Sultan Kelantan supaya kedudukan Raja-raja Melayu terus dijunjung oleh rakyat dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai etika dan akhlak yang mengikat kehidupan Sultan Kelantan. Pada 15 Disember 1992, Menteri Besar Kelantan itu telah mengumumkan kepada media bahawa Istana Kelantan tidak akan terikat dengan etika raja-raja yang war-warkan oleh Umno, sebaliknya Baginda mahu Istana Kelantan hanya terikat dengan kod etika al-Quran. Walaupun kenyataan ini memberi maksud Baginda memperkenankan penghapusan imuniti, tetapi Baginda melangkah ke hadapan dengan mengikat diri Baginda dengan Kitab Allah.
Pendirian Sultan Kelantan ini adalah selaras dengan pandangan yang dibuat oleh PAS pada 12 Disember 1992 yang mempertegaskan bahawa keadilan Islam tidak membezakan sesiapa. Pada 13 Januari 1993, PAS Pusat telah memutuskan supaya Ahli-ahli Parlimennya menyokong cadangan pindaan ini di Dewan Rakyat pada 18-19 Januari 1993, tetapi mestilah mengemukakan prinsip-prinsip keadilan Islam dalam soal ini. Walau bagaimanapun, pada 15 Januari 1993, Sultan Kelantan yang mendakwa cadangan pindaan ini belum mendapat perkenan Majlis Raja-raja, telah menolak pindaan tersebut. PAS yang membahas menyokong pindaan ini, telah memilih berkecuali ketika pengundian kerana menghormati pendirian Sultan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan