11 Disember 2016

11 Disember 2000 : Media Memanipulasi Isu Perpaduan Melayu Agar PAS Dan PKN Bersama BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, isu perpaduan Melayu telah mula digembar-gemburkan oleh media massa arus perdana sebagai strategi baru menghadapi pembangkang setelah BN tewas dalam Pilihan Raya Kecil Lunas pada 29 November 2000. Isu perpaduan Melayu ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 10 Disember 2000 yang kononnya sangat bimbang dengan perpecahan bangsa Melayu dan orang Islam selepas berlaku gerakan Reformasi pada September 1998. Isu ini dihangatkan oleh pemimpin Umno dengan sokong media arus perdana pro BN dalam rangka memperkasakan semula parti perkauman itu setelah orang Melayu mula beralih kepada PAS sejak 1998, yang kemudiannya dimanfaatkan oleh PAS untuk mendesak Umno memulihkan kepincangan politik, ekonomi dan agama yang berlaku.

Isu perpaduan Melayu yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan perpecahan Umno pada 1998 setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno yang membawa kepada tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKN), sedangkan orang Melayu mula beralih sokongan kepada PAS secara besar-besaran, terutama kerana peranan PAS dalam memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, PAS bukan sahaja berjaya merampas Terengganu, tetapi dapat mengalahkan calon BN dari Umno di kawasan-kawasan orang Melayu di Pahang, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis. BN kemudiannya telah mengenakan tekanan hebat ke atas PAS kerana kejayaan ini, termasuk mengurangkan permit penerbitan Harakah, menyekat permit ceramah politik dan cuba membuang perkataan Islam pada nama PAS.

Ternyata strategi zalim BN tidak berkesan apabila PAS yang memberi sokongan kuat kepada calon PKN dalam Pilihan Raya Kecil Lunas pada 29 November 2000, telah menyebabkan calon BN kalah. Kekalahan ini telah mengubah strategi BN kepada mengajak PAS dan PKN bersatu dengan Umno atas nama perpaduan Melayu. Pada 10 November 2000, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membangkitkan semula isu perpaduan Melayu ini dengan menyatakan kebimbangan terhadap perpecahan orang Melayu dan umat Islam. Daripada kenyataan Presiden Umno ini, Berita Harian keluaran 11 November 2000 mula memanipulasikan isu perpaduan ini dengan tajuk "PM ulang kebimbangan perpecahan Melayu, Islam." Sejak 11 November 2000, media massa arus perdana mulai menyeru supaya PAS dan PKN mengambil berat soal perpaduan dan mengajak kedua-dua parti pembangkang ini bersama Umno, kononnya untuk menyatukan orang Melayu.

Menghangatkan manipulasi media ini, pada 24 Disember 2000, Presiden Umno itu telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan PAS dan PKN bagi menyelesaikan isu perpecahan bangsa Melayu. Ketika PKN mengambil pendirian menolak tawaran Umno untuk berbincang, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor pada 25 Disember 2000 telah menyatakan kesediaan PAS untuk berunding, bahkan pada 26 Disember 2000, Presiden PAS itu menyatakan PAS bersedia untuk bekerjasama dengan Umno. Pada 6 Januari 2001, Lajnah Politik PAS Pusat bersetuju menghantar Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk berunding dengan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, dengan syarat PAS tidak menyertai BN. PAS juga telah mengambil kesempatan perundingan ini untuk mendesak Umno menyelesaikan isu kepincangan sistem kezaliman, pencabulan demokrasi, kepincangan ekonomi dan peminggiran Islam sebagai langkah mewujudkan perpaduan. Kegagalan Umno menerima saranan PAS ini telah menyebabkan PAS pada 18 Februari 2001 menangguhkan rundingan dengan Umno.

Tiada ulasan: