05 Disember 2016

05 Disember 1977 : Majlis Tertinggi BN Arahkan PAS Memecat Ahli Parlimen PAS Yang Melawan Ketua Whip

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Majlis Tertinggi BN telah membuat keputusan dengan suara majoriti supaya PAS memecat Ahli-ahli Parlimennya yang bertindak menentang arahan Ketua Whip BN di Dewan Rakyat pada 8 November 1977. 12 orang daripada 14 Ahli Parlimen PAS telah bertindak menentang Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 8 November 1977 di Dewan Rakyat, kerana mengikuti keputusan PAS pada 6 November 1977 untuk menentang rang undang-undang tersebut. Ekoran tindakan PAS ini, Majlis Tertinggi BN menganggap bahawa Ahli-ahli Parlimen PAS telah melanggar Fasal 14 Perlembagaan BN tentang disiplin wakil-wakil rakyat BN di dewan perundangan.

Pergolakan ini bermula kerana campur tangan Umno terhadap perlantikan Menteri Besar Kelantan dari PAS selepas Piihan Raya Umum 1974. Menteri Besar pilihan Umno, Dato’ Mohamed Nasir (PAS – Tendong) telah bertindak sebagai Menteri Besar BN yang membelakangkan PAS, yang kemudiannya membawa kepada krisis politik yang berpanjangan sehingga 1977. Kegagalan beliau mematuhi arahan PAS supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan telah membawa kepada pemecatan beliau sebagai ahli PAS pada 10 Oktober 1977, diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Ekoran itu, meletus rusuhan di Kota Bharu yang menyebabkan keadaan politik dan keselamatan tergugat.

Bagi menyelesaikan isu ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah mencadangkan ‘Formula Mahathir’ tetapi ditolak oleh PAS. Beliau kemudiannya mencadangkan supaya Kelantan didaruratkan, yang turut dipersetujui oleh Perdana Menteri. PAS bertegas supaya isu ini diselesaikan secara dalaman dengan tidak perlu sebuah Kerajaan Mageran ditubuhkan. Pada 4 November 1977, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan untuk membawa rang undang-undang darurat ke Dewan Rakyat tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan PAS. Ekoran itu, pada 6 November 1977, PAS memutuskan supaya semua penjawat awamnya (menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen) meletakkan jawatan dan menentang rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat pada 8 November 1977.

Dalam sidang Dewan Rakyat tersebut, 12 orang Ahli Parlimen PAS termasuk Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda telah menentang Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977. Dua orang Ahli Parlimen PAS yang melanggar arahan parti dengan menyokong rang undang-undang tersebut ialah Ustaz Datuk Haji Hassan Adli Mohd Arshad (PAS – Bagan Datoh), Menteri Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Tempatan yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dan Ustaz Lokman Abdul Kadir (PAS – Ulu Nerus). Pada 5 Disember 1977, Majlis Tertinggi BN telah membincangkan tindakan Ahli-ahli Parlimen PAS ini dan mengarahkan PAS memecat kesemua 12 orang wakil rakyat tersebut. Sembilan buah parti telah menyokong cadangan ini, sedangkan PAS menentangnya, manakala PPP telah berkecuali.

PAS pada 7 Disember 1977 melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung BN telah mempertegaskan pendirian untuk tidak memecat keahlian kesemua 12 orang ahli parlimennya. Ini mendorong tindakan Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 yang mengarahkan PAS berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977 atau PAS dengan sendirinya terpecat dari BN. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Disember 1977 yang mempertahankan pendirian PAS telah membuat kesimpulan bahawa keputusan BN pada 13 Disember 1977 itu bermaksud PAS telah dipecat dari BN mulai tarikh tersebut.

Tiada ulasan: