31 Disember 2016

31 Disember 1988 : PAS Ambil Kesempatan Rampas Kelantan Dalam Krisis Politik BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bersetuju untuk mengembleng secara besar-besaran isu krisis politik Kelantan yang melibatkan Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Yaacub dengan pihak Istana Kelantan sebagai strategi untuk merampas semula Kelantan dari tangan BN. Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 1959, telah jatuh ke tangan BN pada 1978 ekoran permainan politik Umno yang melagakan kepemimpinan PAS. Dengan perpecahan Umno dan krisis mereka dengan Tuanku Ismail Petra, Sultan Kelantan, ia telah membuka ruang terbaik untuk PAS kembali menguasai Kelantan.

Krisis politik Kelantan telah timbul kerana perpecahan yang berlaku dalam Umno antara Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilihan Umno pada 24 April 1987, sekali gus menghampakan rakyat Kelantan yang mahu melihat Tengku Razaliegh Hamzah menjadi Perdana Menteri. Beberapa Cawangan Umno termasuk dari Kelantan telah dipersoalkan kesahihan pendaftaran mereka sehingga satu kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun 1987 bagi mencabar kemenangan tipis Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Pada 4 Februari 1988, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengiystiharkan pengharaman Umno ekoran penglibatan 30 buah cawangan haram dalam mesyuarat agung mereka. Umno Kelantan turut mengalami perpecahan besar kerana Menteri Besar Kelantan berada dalam pasukan yang berbeza dengan Tengku Razaliegh Hamzah.

Bermula dengan kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Tuku pada Jun 1987, PAS Kelantan telah berusaha menarik sokongan Team B Umno bagi menjatuhkan Tan Sri Mohamed Yaacub, PAS terus memanfaatkan perpecahan Umno untuk merampas semula Kelantan. Pada 12 Mac 1988, ADUN Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, tetapi Team B Umno masih ragu-ragu untuk memberikan sokongan, sehinggalah timbul krisis antara Menteri Besar dengan Istana Kelantan. Oleh kerana Tengku Razaliegh Hamzah adalah ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, perpecahan Umno ini bukan sahaja telah berjaya merapatkan hubungan PAS dengan Istana Kelantan, tetapi membentuk kerjasama politik antara PAS dengan Team B Umno yang menubuhkan parti Semangat 46 (S46). Pada 21 Mei 1988, Istana Kelantan telah berkenan menjemput anggota Jawatankuasa Harian PAS Kelantan menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Istana Negeri, Kubang Kerian. Bahkan, dalam isu pertukaran 20 pegawai tadbir kerajaan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), pihak Istana Kelantan juga telah menitahkan supaya PAS menjelaskan isu ini kepada rakyat.

Dalam suasana politik Kelantan yang bergolak kencang akibat perpecahan Umno dan pegeseran Kerajaan BN dengan Istana Kelantan, Pada 20 Disember 1988, Majlis Syura Ulamak PAS telah mempertimbangkan kerjasama politik yang diwujudkan oleh Berjasa dan S46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan), dan memutuskan supaya PAS mengetuai kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah jika dapat berkuasa menerusi kerjasama politik ini. Di samping keputusan Dewan Harian PAS Kelantan pada 18 Disember 1988, Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 31 Disember 1988 juga telah mengambil satu ketetapan untuk mengemblengkan seluruh isu dalam krisis politik Kelantan yang melibatkan ketegangan hubungan dengan Istana Kelantan, pergeseran dengan pegawai tadbir negeri dan perpecahan dalaman Umno sebagai strategi terbaik untuk merampas semula Kelantan daripada Umno dalam Pilihan Raya Umum Kelapan, di samping membentuk kerjasama politik dengan Team B Umno. Akhirnya, pada 21 Oktober 1990, PAS yang bekerjasama dengan Angkatan telah berjaya merampas semula Kelantan dari BN.

Tiada ulasan: