20 Disember 2016

20 Disember 1988 : PAS Jadikan Agihan Kerusi Sebagai Syarat Kerjasama Dengan Angkatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya kelangsungan kerjasama politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) boleh diteruskan dengan syarat pengagihan kerusi dilakukan mengikut ketetapan dengan PAS menguasai majoriti di beberapa negeri. PAS telah bersetuju supaya ia menguasai jumlah kerusi DUN yang ditandingi di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mengetuai kerajaan di negeri-negeri tersebut jika kerjasama politik PAS-Angkatan berjaya memerintah, selain PAS menuntut diberikan sekurang-kurangnya 38 dari 192 kerusi Parlimen untuk ditandingi, di mana Kerajaan Pusat boleh diketuai oleh parti Semangat 46 (S46).

Bagi PAS, kerjasama bersama Angkatan ini perlu memberikan keuntungan politik kepada Islam di mana PAS boleh memerintah negeri-negeri majoriti Melayu Islam, sedangkan untuk sementara waktu, sekutu PAS dalam Angkatan, S46 yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah boleh diserahkan untuk menguasai Kerajaan Pusat. S46 selain bekerjasama dengan PAS melalui Angkatan, turut mempunyai kerjasama dengan Gagasan Rakyat (GR) yang turut disertai oleh DAP, PRM, IPF dan PBS yang tidak berasaskan Islam. Oleh kerana kerjasama PAS-Angkatan berpengaruh di negeri-negeri Melayu, sedangkan GR disokong oleh orang bukan Melayu di Pantai Barat Semenanjung dan Sabah, S46 mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa mereka dapat mengalahkan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Presiden Umno.

Bagi PAS sendiri, perubahan politik ini adalah peluang terbaik untuk meningkatkan pengaruh politik Islam, di mana PAS telah meletakkan penguasaan mereka ke atas Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai asas memperkukuhkan kerjasama. Dalam konteks ini, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan satu kertas bertajuk "Tahaluf" pada 9 Oktober 1988 sebagai asas kerjasama politik, sedangkan PAS Kelantan yang lebih optimis dengan perpecahan Umno Kelantan, pada 9 Jun 1989 mencadangkan satu bentuk kerjasama "tafahum siyasi" dengan Angkatan untuk memecahkan undi Umno sebagai strategi terbaik untuk mengalahkan BN. Kesemua pendekatan politik ini telah dilihat sebagai peluang terbaik untuk PAS menguasai Kelantan.

PAS sendiri sejak awal mengambil pendirian bahawa ia tidak akan menyertai gabungan politik Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, S46 dan Hamim. Sebaliknya PAS bersetuju supaya kerjasama politik diwujudkan antara PAS dan Angkatan untuk membolehkan PAS menguasai semula Kelantan sekurang-kurangnya. Kerjasama yang dibuat secara persefahaman politik ini adalah supaya PAS tidak terikat dengan dasar-dasar parti lain, terutama berhubung kerjasama mereka dengan DAP dan parti-parti lain dalam GR. PAS juga pada peringkat ini tidak bersetuju dengan tindakan S46 meletakkan calon wanita di Kelantan, di samping kegagalan Angkatan meletakkan Islam sebagai asas perlembagaan mereka.

Pendirian PAS pada 20 Disember 1988 supaya PAS bertegas tentang pembahagian kerusi dalam kerjasama PAS-Angkatan telah akhirnya membolehkan PAS bertanding 26 kerusi DUN di Kelantan, di samping enam kerusi Parlimen. S46 yang diberikan tujuh kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN Kelantan dengan alasan parti serpihan Umno itu lebih memerlukan kerusi Parlimen untuk mereka mengetuai Kerajaan Pusat. Persetujuan yang dicapai pada 22 Januari 1990 ini kemudiannya menjadi asas pencalonan dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990. Apabila kerjasama PAS-Angkatan berjaya menyapu bersih semua 39 kerusi DUN, PAS dengan 26 kerusi telah dapat mengetuai Kerajaan Negeri Kelantan dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: