08 Disember 2016

08 Disember 1960 : Keahlian Ustaz Azzam Hanapiah Diterima Semula Bagi Menghadapi Krisis Politik Terengganu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menerima semula keahlian bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah setelah beliau keluar dari PAS pada 15 Julai 1960. Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang juga ADUN Jeram merangkap bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu telah bertindak keluar dari PAS ekoran beberapa desakan beliau berkait dengan kedudukan jawatan Timbalan Menteri Besar Terengganu, penyusunan semula Kerajaan Negeri Terengganu dan pemecatan keahlian ADUN Marang yang juga Speaker DUN Terengganu, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar. Dengan keluarnya Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dari PAS, Kerajaan PAS Terengganu telah kehilangan majoriti sehingga terpaksa berhadapan dengan usul undi tidak percaya pada 6 Ogos 1960.

Krisis politik Terengganu telah tercetus setelah Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu tidak dipilih sebagai Menteri Besar kerana beliau bukan anak Terengganu, yang menyebabkan PAS merancang untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Mohd Daud Abdul Samad yang mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959 tidak segera mewujudkan jawatan tersebut kerana kesibukan menghadapi Pilihan Raya Umum Persekutuan yang berlangsung antara 15 Julai hingga 19 Ogos 1959. Berlanjutan daripada itu, timbul pula konflik baru apabila PAS Cawangan Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun telah tidak berpuas hati dengan Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam soal pemilihan calon ketika pilihan raya tersebut berlangsung. Mereka bukan sahaja memboikot mesyuarat Badan Perhubungan PAS Terengganu, tetapi telah menggunakan suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 Ogos 1959 untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Darurat pada 16 Oktober 1959 yang menghilangkan kuasa Pesuruhjaya PAS Terengganu itu.

Konflik menjadi bertambah rumit setelah Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 7 Mei 1960, di mana Kerajaan PAS Terengganu telah menerima kritikan daripada Speaker DUN Terengganu, yang kemudiannya menyebabkan PAS Cawangan Dungun memecat keahlian ADUN Marang itu. Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah pula mendesak supaya Kerajaan PAS Terengganu disusun semula dan jawatan Timbalan Menteri Besar diisi dengan segera. Setelah melalui beberapa rundingan di antara pihak-pihak terbabit yang turut melibatkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS, akhirnya pada 27 Jun 1960, Pesuruhjaya PAS Terengganu itu bertegas bahawa beliau akan keluar dari PAS mulai 15 Julai 1960 jika isu-isu tersebut tidak dapat diselesaikan.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang telah memutuskan pada 28 Jun 1960 bahawa pemecatan keahlian Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar sebagai tidak sah, terpaksa berhadapan pula dengan kehilangan ADUN Jeram yang keluar parti, sehingga PAS terpaksa menarik ADUN Parti Negara untuk menyertai PAS. Ketiadaan Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah telah menyebabkan kedudukan DUN Terengganu menjadi seimbang dengan 11 orang mewakili Kerajaan PAS dan 11 orang pembangkang (tidak termasuk Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah selaku wakil Bebas), sedangkan ADUN PAS Marang bertindak sebagai Speaker DUN. Ketika usul undi tidak percaya dikemukakan di DUN Terengganu pada 6 Ogos 1960, ADUN Jeram (Bebas) telah membuat undian berkecuali yang menggagalkan usul tersebut dengan undian Speaker DUN Terengganu yang berpihak kepada PAS.

Walau bagaimanapun, pada 7 Ogos 1960, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah telah bertindak membangkang dua rang undang-undang berkait belanjawan tambahan dan saraan Speaker DUN, sekali gus memaksa PAS mengatur strategi untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Negara, tetapi digagalkan oleh penyertaan seorang ADUN Parti Negara, Ismail Abbas ke dalam PAS pada 8 Oktober 1960. Bagi meredakan keadaan ini, pada 8 Disember 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk menerima semula Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Bebas - Jeram) sebagai ahli PAS.

Tiada ulasan: