16 Disember 2016

16 Disember 1971 : PAS Bertemu Pendaftar Pertubuhan (RoS) Bincang Isu Nama Parti

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1971, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk membincangkan kedudukan nama PAS yang telah menjadi isu. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 April 1971 telah dimaklumkan bahawa RoS telah mengarahkan supaya PAS meminda namanya, berikutan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof di Dewan Negara yang mengancam tindakan ke atas PAS kerana namanya dikatakan tidak bersemangat Malaysia dan melibatkan isu sensitif. Isu nama ini telah menyebabkan nama PAS bertukar dari berbau Melayu kepada berbau Malaysia.

Isu nama Islam telah berbangkit di Dewan Negara pada 9 Mac 1971 rentetan dari tragedi 13 Mei 1969. Setelah penggantungan Parlimen ditarik balik pada 30 Ogos 1970, diikuti oleh pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Akta Hasutan 1948 yang bertujuan untuk menghalang perkara sensitif dibincangkan. Semasa menggulung Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 1971, Tan Sri Abdul Kadir Yusof memberitahu PAS tidak lagi boleh menggunakan Melayu dan Islam sebagai dasar perjuangannya kerana ia termasuk perkara sensitif yang disekat oleh Akta Hasutan (Pindaan) 1970. PAS kemudiannya menerima arahan dari Pemangku Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Kassim Mohd Amin supaya meminda Perlembagaan PAS bagi menyelesaikan isu sensitif ini sebelum 30 Jun 1971.

Ekoran itu, pada 18-20 Jun 1971, Muktamar Tahunan PAS Ke-17 di Kuala Lumpur telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS 1971 dengan menukar nama "Persatuan Islam Se-Tanah Melayu" yang digunakan sejak 1963 kepada "Parti Islam." Pada 4 Ogos 1971, Kassim Mohd Amin dalam suratnya kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah menolak nama baru PAS atas alasan nama "Parti Islam" mengelirukan kerana tidak dapat dipastikan ia dari negara mana atau mungkin sebuah parti gabungan dengan parti dari negara luar, selain masalah penggunaan simbol Islam pada PAS. Keadaan ini telah menyukarkan PAS dalam pemakaian nama baru kerana isu-isu perkauman sempit akibat tragedi 13 Mei 1969 dikaitkan dengan nama PAS, walaupun PAS tidak terlibat langsung dalam tragedi tersebut. PAS akhirnya memutuskan supaya Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Abu Bakar Hamzah membuat rayuan dengan menemui Perdana Menteri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia bagi menyelesaikan masalah ini.

Mengambil langkah menyelesaikan isu ini, pada 16 Disember 1971, Yang Dipertua Agung PAS dan Setiausaha Agung PAS telah mengunjungi Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk membuat rayuan, sebelum Dato' Mohd Asri Haji Muda menemui Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia bagi tujuan yang sama. Di sebalik laporan Yang Dipertua Agung PAS tentang ketegasan Perdana Menteri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia yang tidak mahu melayan rayuan PAS, akhirnya Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 Julai 1972 telah bersetuju supaya nama baru yang digunakan oleh PAS ialah "Parti Islam Se-Malaysia (PAS)." Nama ini kemudiannya diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 dan disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 24 Februari 1973. Sejak dari tarikh ini, nama baru PAS ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Tiada ulasan: