28 Disember 2016

28 Disember 1959 : PAS Desak Majlis Raja-raja Supaya Agama Islam Ditadbir Oleh Persekutuan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1959, PAS telah mengambil satu ketetapan untuk memohon kepada Majlis Mesyuarat Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu bagi menyama dan menyeleraskan pentadbiran agama Islam di seluruh Persekutuan Tanah Melayu dengan menubuhkan Majlis Agama Islam Pusat. Resolusi yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelapan pada 26-28 Disember 1959 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur ini merupakan salah satu dari 12 usul yang diluluskan pada hari terakhir mesyuarat agung tersebut. Pendirian PAS dalam soal penyelarasan pentadbiran agama ini merupakan isu yang telah berbangkit semenjak selepas Perang Dunia Kedua lagi, tetapi tidak dapat diselesaikan menerusi rundingan kemerdekaan kerana kuasa agama adalah satu-satunya kuasa yang berbaki di tangan Raja-raja Melayu.

Persoalan tentang masalah pentadbiran agama di Tanah Melayu berbangkit sejak sekian lama kerana setiap orang dari sembilan orang Raja-raja Melayu mempunyai kuasa tersendiri dalam urusan agama di negeri masing-masing. Pada zaman Jepun, satu Persidangan Majlis Agama Se-Malai (Malaya) telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 12-15 Disember 1944 yang telah dihadiri oleh 21 orang wakil Majlis-majlis Agama seluruh Tanah Melayu termasuk Syonan-To (Singapura) yang membincangkan penubuhan Majlis Agama Serantau. Selepas Perang Dunia Kedua, pada 22-24 Mac 1947, satu Persidangan Agama-Ekonomi telah diadakan di Gunung Semanggol, Perak yang berhasil menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA), yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Setelah Hizbul Muslimin dilumpuhkan menerusi Ordinan Darurat 1948, pergerakan politik Islam mula beralih kepada Bahagian Agama dan Pelajaran Umno.

Menerusi sayap agama Umno itu, pada 21-22 Februari 1950, Persidangan Alim Ulamak Malaya yang diadakan di Muar, Johor telah memutuskan supaya ditubuhkan sebuah majlis perhubungan yang mengandungi jabatan-jabatan agama dan majlis-majlis agama untuk menyeleraskan pentadbiran agama di Malaya. Umno telah membawa keputusan ini kepada Raja-raja Melayu, tetapi pada 30 Ogos 1950, Majlis Raja-raja telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tetap yang dianggotai oleh wakil majlis-majlis agama untuk menyelaraskan pentadbiran agama mengikut kehendak Raja-raja. Para ulamak yang tidak berpuas hati dengan penubuhan Jawatankuasa Tetap ini telah menyuarakan keluhan mereka dalam Suara Umno keluaran 15 Februari 1951 di mana Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah menulis artikel bertajuk “Menyatukan Pentadbiran Agama di Malaya.” Isu ini menjadi topik hangat dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951.

Penubuhan PAS sendiri merupakan akibat daripada kemahuan ulamak untuk menyelaraskan pentadbiran agama di mana satu Memorandum Kepada Raja-raja Melayu tentang penyelarasan pentadbiran agama dikemukakan pada 23 Ogos 1951 mewakili persidangan ulamak di Kuala Lumpur itu. PAS juga mengemukakan persoalan ini dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 dalam rangka menuntut kemerdekaan. Kerana kegagalan mencapai tujuan tersebut menerusi gerakan kemerdekaan yang berakhir pada 31 Ogos 1957, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelapan yang berakhir pada 28 Disember 1959 telah mengambil ketetapan pada hari terakhir persidangannya untuk memohon kepada Raja-raja Melayu bagi menyelaraskan pentadbiran agama.

Tiada ulasan: