21 Disember 2016

21 Disember 1972 : Mesyuarat Agung Khas Lulus Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Mesyuarat Agung Khas PAS telah memutuskan bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran PAS-Perikatan di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hasil dari keputusan ini, PAS telah menyertai Kerajaan Pusat dengan menduduki beberapa kerusi kabinet, selain membuat rombakan Kerajaan Kelantan bagi membolehkan beberapa pemimpin Perikatan dilantik ke dalam kerajaan pada 30 Disember 1972. Keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS yang mengharuskan percampuran ini telah dicapai dengan 190 undi menyokong, 94 undi membangkang dan 19 undi berkecuali.

Pada 12 Disember 1970, Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan untuk kestabilan politik negara pasca tragedi 13 Mei 1969. Saranan ini mendapat respon positif daripada Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda, kerana sejak 5 Ogos 1970, pemimpin PAS itu telah mempertegaskan keperluan orang Melayu bersatu untuk mengelakkan negara ini dikuasai bangsa lain. Setelah Kerajaan Campuran Perikatan-Gerakan berjaya dibentuk di Pulau Pinang pada 13 Februari 1972 dan Kerajaan Campuran Perikatan-PPP dibentuk di Perak pada 15 April 1972, Naib Presiden Umno, Abdul Ghafar Baba telah menganjurkan pada 29 April 1972 supaya hal yang sama juga perlu dibuat di Kelantan.

Setelah menerima pelbagai maklum balas pro dan kontra dari kedua-dua pihak, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Ogos 1972 telah melantik Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dan Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk mewakili PAS dalam rundingan PAS-Perikatan dengan syarat-syarat yang ketat, antaranya “menerima syariat Islam sebagai sumber perundangan” dan “menghapuskan diskriminasi ke atas rakyat.” Rundingan kedua-dua pihak berlaku yang pada 16 Ogos 1972, 5 September 1972 dan 4 Disember 1972, telah berjaya merumuskan platform untuk enam garis dasar sebagai asas pembentukan kerajaan campuran, enam tuntutan perjawatan, empat perjanjian pilihan raya dan dua perjanjian am.

Di pihak PAS, pada 22 Julai 1972, PAS Kelantan telah meluluskan rancangan pembentukan kerajaan campuran, sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk berunding dengan Perikatan bagi tujuan tersebut. Dewan Ulamak PAS Pusat yang ditugaskan membuat kajian hukum, pada 14 Disember 1972 telah mengadakan pertemuan ulamak-ulamak PAS untuk membincangkan hukum percampuran ini. Sebuah Jawatankuasa Tarjih telah dibentuk kemudiannya untuk merumuskan keputusan mereka, tetapi gagal mencapai kata sepakat, sebelum ia diselesaikan dengan pengharusan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat. Dengan keputusan Dewan Ulamak PAS Pusat ini, satu Mesyuarat Agung Khas PAS diadakan untu membuat pendirian politik tentang hal ini.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 21 Disember 1972, setelah mendengar Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, satu kertas kerja yang bertajuk “Masalah Kerajaan Campuran Perikatan-PAS di Malaysia Barat Tahun 1972” telah dibentangkan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah dengan mengemukakan nas-nas agama yang mengharuskannya. Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya bersetuju dengan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan melalui keputusan majoriti, sekali gus membolehkan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk mulai 1 Januari 1973.

Tiada ulasan: